Malaysia Dateline

Kerugian harta benda salah pemimpin atau penduduk?

Kita ada 3 bangunan antara 10 tertinggi di Asia.

Pengurusan negara lebih teruk dari Zimbadwe

Kita tidak boleh menghalang bencana banjir ini kerana ia kehendak Tuhan tetapi kita boleh mengurangkan kerugian harta benda jika mahu.. Insyallah. Tapi ia tidak berlaku kerana banjir ia bukan seperti sambaran kilat berlaku sepantas cahaya. Jadi di mana dan silapnya?

Hari ini ada kawasan banjir telah surut dan ada juga kawasan terutama di Klang yang mengalami air laut pasang telah membuatkan banjir termenung berlaku (lambat surut) hingga memakan masa berhari hari lamanya untuk surut.

Kita dapat melihat kerugian harta benda mangsa banjir terutamanya kenderaan. Kerugian secara purata dianggarkan sekitar RM50 ke RM100,000 untuk setiap isi rumah.

Persoalannya ia salah siapa hinggakan harta benda terutama kenderaan gagal diselamatkan? Adakah salah pemimpin atau penduduk?

Saya ada bertanya kepada kawan yang rumahnya ditenggelami air adakah sistem amaran siren berfungsi atau menerima SMS dari pihak berkuasa. Jawabnya tiada.

Saya difahamkan perkhidmatan sistem SMS amaran banjir (SMsBanjir) adalah satu sistem berdasarkan teknologi SMS yang telah dibangunkan oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia.

Tujuannya untuk memaklumkan amaran awal kepada penduduk setempat terhadap kemungkinan berlakunya banjir di kawasan TTDI Jaya, Shah Alam dan kawasan sekitar.

Dengan sistem ini Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia berharap penduduk di TTDI Jaya dan kawasan sekitar mempunyai tempoh masa mencukupi untuk meyelamatkan keluarga dan harta benda sekiranya berlaku banjir.

Tapi ia tidak berlaku? Betulkan saya jika saya salah. Jika sistem berfungsi penduduk tidak endah… kita patut salahkan penduduk. Tapi jika sebaliknya Pak Menteri terbabit patut bertanggungjawab.

Saya berkeyakinan Jabatan Meteorologi pastinya sudah memaklumkan kepada Kementerian dan Jabatan Pengairan Saliran akan perubahan cuaca tersebut. Sewajarnya Kementerian dengan menggunakan seluruh media kerajaan dan sistem SMS dan media sosial melaporkan segera kejadian tersebut kepada penduduk setempat.

Sekurang-kurangnya penduduk setempat dapat menyelamatkan kenderaan mereka dengan mengubah ke tempat selamat. Kenderaan sangat penting bagi bagi semua orang untuk pelbagai urusan. Jika tenggelam kenderaan terbabit proses membaiki kosnya sangat tinggi dan mengambil masa yang lama.

Lihat di Amerika negara yang sering dilanda puting beliung atau ribut taufan. Beberapa hari sebelum kejadian kerajaan negara Uncle Sam itu telah mengeluarkan amaran untuk penduduk setempat berpindah sepertimana Taufan Katrina dan terbaru Taufan Ida di New York.

Walaupun ada kematian tetapi sangat minima. Jutaan penduduk di Louisiana, Mississippi dan Alabama dipindahkan dari rumah mereka dan para pakar menganggarkan taufan Katrina selaju 200km sejam.

Jepun juga merupakan sebuah negara yang mempunyai sifat geografi yang unik menyebabkan ia sering dilanda bencana alam seperti gempa bumi dan taufan.

Setelah berkurun pengalaman menghadapi bencana alam, Jepun telah berubah menjadi sebuah negara yang mempunyai persediaan lengkap dan rapi terhadapnya.

Aplikasi telefon pintar “Safety Tips” oleh RC Soution CO. adalah sebuah aplikasi berbilang bahasa untuk situasi-situasi kecemasan dan bencana alam di Jepun.

Ia juga berfungsi sebagai sistem amaran ketika berlakunya gempa bumi dan tsunami. Sistem amaran awal ini telah dapat mengurangkan jumlah kematian ramai penduduk.

Jadi persoalannya adakah sistem amaran banjir negara kita yang mempunyai 3 bangunan antara tertinggi di Asia ini berfungsi atau tidak?

Bagi saya negara kita benar-benar negara hipokrit… berbangga dengan material tapi pengurusan hancur.

Persoalannya mengapa Menteri tidak mengeluarkan kenyataan awal sekurang kurang 24 jam sebelum kejadian berdasarkan ramalan Meteorologi iaitu peningkatan taburan hujan sekaligus peningkatan air sungai?

Bagi saya Menteri patut dipertanggungjawabkan atas kelalaian memberi amaran awal kepada penduduk hingga membuatkan kerugian harta benda yang melampau. Pengurusan kementerian terbabit lebih teruk dari negara Zimbabwe dan memalukan.

Nurul Izzah sudah memberi amaran awal di Parlimen apakah persediaan kerajaan untuk hadapi musim banjir.
Ada Menteri peduli? Ada kerajaan buat persediaan awal melalui sistem amaran awal. Ada kerajaan standby pihak-pihak berkuasa terutama tentera untuk terlibat.

Apa nak buat negara kita ini bukan jenis mencegah atau ingin mengubah. Bila berlaku kita arahkan bantuan. Itulah sejak turun temurun perangai pemimpin-pemimpin kita ni.

Sudah la bantuan hanya RM1,000 sdgkan kerugian berpuluh ribu. Saya bukan apa rasa sayu dan terkejut bila melihat begitu ramai mangsa banjir dengan bayi kecil terpaksa panjat ke bumbung rumah berjam-jam lamanya.

Saya terkejut kita kekurangan bot-bot kecil. Saya terkejut banyak kawasan tidak menerima bantuan segera sama ada dibawa ke tempat selamat atau makanan. Saya terkejut kita tidak bersedia untuk menyediakan dewan khas bagi mangsa-mangsa banjir. Saya terkejut Menteri sibuk di Perhimpunan parti dari berkampung ke kawasan banjir.

Kita sebenarnya tiada masalah berbelanja ratusan juta ringgit untuk hadapi banjir ini. Tapi sayang ketirisan berbillion ringgit telah membuatkan kebajikan seperti mangsa banjir tidak seperti diharapkan.

Jepun dan Amerika menyediakan RM100 billion untuk bencana alam negara, kita tak pastilah untuk rakyat RM 1k sudah dirasakan banyak. Untuk kalangan mereka komisen kawan seorang sahaja RM500 juta ok… entah lah.