Malaysia Dateline

Kerugian Khazanah kerana melabur dalam MAB, kata Azmin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerugian yang dialamii Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang terbesar disebabkan pelaburannya dalam Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan gagal memperbaiki prestasi syarikat penerbangan itu.

“Masalah sesetengah ahli politik hari ini, menteri yang gagal kerana mereka hanya akan bercakap dahulu, periksa kemudian. Akhirnya, ibarat meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri.

“Walaupun benar Khazanah melaporkan kerugian RM6 bilion dan meningkat kepada RM7 bilion akibat pengurangan nilai aset, ini berpunca daripada semakan semula aset dan pelaburan yang dibuat sebelum PH mengambil alih (kerajaan).

“Kerugian tunggal terbesar dalam (penyata keuntungan dan kerugian) lebih RM3 bilion adalah Malaysia Airlines kerana strategi dilaksanakan gagal membaik pulih syarikat itu,” katanya seperti dipetik bharianonline.

Media semalam melaporkan Khazanah mencatatkan kerugian sebelum cukai RM6.271 bilion pada 2018 berbanding keuntungan RM2.896 bilion tahun sebelumnya, kerugian pertama sayap pelaburan kerajaan itu sejak 2005.

Nilai portfolio menerusi Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) merosot kepada RM91 bilion pada 2018, susut 21.6 peratus daripada RM116 bilion pada 2017.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, pelaburan dibuat sejak beberapa tahun lalu perlu dikurangkan, selain yakin Khazanah akan menjana keuntungan semula tahun ini.

“Ketepikan polemik rugi ini. Pada dasarnya, kerugian dialami disebabkan kecacatan pelaburan yang dibuat sebelum PH mengambil alih pada 9 Mei tahun lalu,” katanya.