Malaysia Dateline

Keruntuhan ekonomi boleh diatasi jika pemimpin tolak fahaman politik, agama dan bangsa

Parti Warisan Sabah (Warisan) berpendapat keruntuhan ekonomi domestik hanya dapat diatasi jika semua pemimpin menolak fahaman politik, agama dan bangsa masing-masing untuk berpadu mencari jalan penyelesaian demi negara yang tercinta ini.

Presidennya, Datuk Shafie Apdal berkata, dalam berdepan pandemik Covid-19, komuniti perniagaan antara yang terjejas teruk, malah terpaksa menanggung kerugian tinggi kerana perniagaan terjejas.

“Patik merafak sembah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah atas titah Seri Paduka yang tidak memperkenan pelaksanaan darurat di negara ini.

“Sesungguhnya, patik menjunjung tinggi kearifan dan kebijaksanaan Seri Paduka bersama Raja-Raja Melayu dalam memerintah negeri dan negara ini demi kemakmuran sekalian rakyatnya.

“Sehubungan itu, patik bersama semua Ahli Parlimen daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) menyanjung titah Seri Paduka agar semua pemimpin politik bekerjasama ketika ini demi memastikan negara dapat memerangi wabak Covid-19 yang menyusahkan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Shafie turut menyeru komuniti perniagaan tampil bekerjasama bersama kerajaan untuk memastikan satu langkah mutlak dapat diambil demi kebaikan bersama.

Katanya, komuniti perniagaan sudah tentu mempunyai idea dan cadangan yang boleh diutarakan kepada kerajaan tentang bagaimana masalah yang timbul dapat diatasi.

“Rakyat telah melakukan pengorbanan di saat-saat sukar ini, maka tiba masanya semua Menteri dan wakil rakyat turut berkorban dengan memberi sumbangan kepada usaha-usaha menghadapi tempoh yang sangat mencabar ini.

“Teruskanlah sokongan saudara-saudari dalam memberi sokongan kepada setiap arahan atau SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa, insya Allah kita pasti dapat menempuh dan mengatasi cabaran ini,”kata beliau.