Tembok runtuh di Taska Q-Dees, “Sheet Piles” sedang dipasang, kata Exco

Tembok runtuh di Taska Q-Dees, “Sheet Piles” sedang dipasang, kata Exco

Kerajaan Negeri Selangor amat kesal dengan kejadian keruntuhan tembok longkang yang berlaku di kawasan Taska Q-Dees, Taman Kelab Ukay, Gombak menyatakan kerja-kerja pengukuhan tebing termasuk sebanyak 50 dari 150 cerucuk keping “Sheet Piles” telahpun dipasang.

Exco Infrastruktur Dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Haji Zaidy Abdul Talib berkata insiden itu dilaporkan berlaku pada 22 Ogos 2016 berikutan pergerakkan tanah disebabkan oleh projek East Klang Valley Expressway (EKVE) yang melibatkan pelebaran Sungai Klang.

Cerucuk keping Sheet Piles giat dipasangMenurutnya, Kerja pelebaran sungai ini telah mengakibatkan kerosakan pada struktur tembok longkang di mana merupakan persempadanan di antara Taska Q-dees dengan rizab sungai (kawasan tapak kerja).

“Menurut laporan MPAJ, kejadian runtuhan tembok longkang ini berlaku disebabkan kegagalan pihak EKVE menahan tanah semasa kerja-kerja pengorekan bagi tujuan kerja-kerja pemasangan L-shape di Sungai Klang.

“Manakala pergerakan tanah di dalam kawasan Taska Q-dees adalah disebabkan tindakan lambat pihak EKVE mengambil tindakan penyelenggaraan dan mengawal air longkang menyebabkan struktur tanah gagal sehingga menyebabkan pergerakan tanah,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan Notis Berhenti Kerja (Stop Work Order) pada 22 Ogos 2016 kepada kontraktor EKVE melalui Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan mengarahkan agar kerja-kerja pelebaran Sungai Klang diberhentikan dengan serta merta dan memberikan fokus kepada kerja-kerja pengukuhan tebing dan penyelenggaraan runtuhan tembok serta memastikan pergerakan tanah yang berlaku di Taska Q-dees dapat diatasi.

“Hasil pemantauan semasa kontraktor EKVE sedang giat melaksanakan kerja-kerja pengukuhan tebing termasuk sebanyak 50 dari 150 cerucuk keping “Sheet Piles” telahpun dipasang.

“Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pemantau Pembinaan Lebuh Raya sentiasa memantau secara dekat semua kerja-kerja pembinaan lebuh raya di Negeri Selangor agar pihak pemaju mamatuhi semua syarat-syarat seperti yang telah ditetapkan,” katanya.

TAGS