Malaysia Dateline

Kerusi Anwar belum diumum, Pas bersiap siaga jentera pilihan raya di Pandan?

Dalam teka-teki kerusi mana yang bakal ditandingi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih kabur, Pas pula sudah berkeyakinan kerusi Parlimen Pandan bakal dilepaskan Datuk Seri Wan Azizah Ismail untuk memberi laluan kepada suaminya.

Dalam satu kenyataan semalam menerusi sebaran whatsapp, Yang Dipertua Pas Kawasan Pandan Datuk Iskandar Abdul Samad telah mengarahkan jentera pilihan raya Pas kawasan Pandan disemua peringkat bersiap sedia untuk kemungkinan Pilihan Raya Kecil P100 Pandan diadakan dalam waktu terdekat.

Sebelum ini banyak ramalan mengatakan Anwar bakal bertanding di Permatang Pauh atau Nibong Tebal di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ialah Nurul Izzah manakala Nibong Tebal Datuk Mansor Othman.

Semalam Mansor menafikan dakwaan kononnya beliau bersedia mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada Anwar.

Malahan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution juga menafikan laporan yang meramalkan kerusi Parlimen yang akan dikosongkan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pilihanraya kecil ialah Permatang Pauh atau Nibong Tebal di Pulau Pinang.

Anwar dijangka akan mengumumkan kerusi yang bakal ditandinginya esok.