Malaysia Dateline

Kerusi Dun: AMANAH tidak mahu tamak tetapi diberi peluang

Parti AMANAH Negara (AMANAH) mahu Majlis Presiden Pakatan Harapan dapat memberi lebih peluang kepada parti itu dalam pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) setelah parti itu hanya memperoleh 27 kerusi Parlimen.

Menurut Setiausaha Agungnya Mohd Anuar Tahir kini empat parti dalam gabungan bagi kerusi Dun masih lagi diperingkat rundingan dan dijangka akan dimuktamadkan oleh setiap parti di peringkat negeri  untuk dibentangkan di dalam mesyuarat peringkat pusat selewatnya pada 31 Januari ini.

Justeru beliau berkata, bagi pembahagian kerusi Dun,  AMANAH lebih mengambil sikap bertolak ansur demi memastikan kemenangan Pakatan Harapan.

“Walaupun begitu kita harap pimpinan majlis presiden memberikan peluang kepada AMANAH. Walaupun dulu kita pernah kata akan bertanding di semua kerusi Pas namun dengan adanya PPBM kita sedia bertolak ansur jika ada pertindanan kerusi-kerusi Dun tersebut.

“AMANAH akan pastikan calon boleh menang untuk diletakkan di semua kerusi Dun yang akan ditandingi,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau enggan mendedahkan jumlah kerusi Dun yang akan dibawa ke peringkat majlis presiden, Anuar menambah, partinya mahu semua pimpinan di peringkat negeri bertenang dengan apa jua keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam menentukan pembahagian kerusi Dun itu kelak.

“Ada orang kata kita ini (AMANAH) parti yang mudah kecewa atau tidak puashati.

“Jadi saya nak nasihatkan kepada pimpinan negeri supaya AMANAH mengambil sikap tidak tamak untuk dapatkan sebanyak mana kerusi Dun dalam pilihan raya umum akan datang.

“Bagi saya dengan 27 Parlimen ia tidaklah terlalu menjolok jika mahu dibandingkan dengan DAP (37 kerusi); PPBM (53) dan PKR (52) kerusi.

“Soal ketidakpuasan hati bukan isu lagi sekarang ini. AMANAH jangan jadi parti yang tamak, kalau boleh nak dapat sebanyak mungkin kerusi.

“Kita melihat di mana kebolehmenangan kita. Dan kita dalam  gabungan perlu bergerak dalam satu pasukan dan kita harapkan AMANAH akan diberi peluang munasabah oleh rakan parti dalam Pakatan Harapan,” ujarnya.