Malaysia Dateline

Kerusi Dun: Pemuda Bersatu bidas kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Pas N.Sembilan

Biro Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan mahu Pas melalui kenyataan dibuat oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Negeri Sembilan Wan Nordin Wan Yacoob . untuk memohon maaf.

Ini susulan dakwaan Pemuda Pas  terhadap  Bersatu  yang dikatakan terlalu emosi dan menjadi alat Umno kerana tidak berpuashati dengan pembahagian kerusi di negeri itu.

“Melihat kepada suasana politik di Negeri Sembilan melalui Konvensyen Pakatan Harapan kami Pemuda PPBM Negeri Sembilan membidas kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Negeri Sembilan Wan Nordin Wan Yacoob.

“Tanggapan beliau melihatkan inilah wajah Pemuda Pas Negeri Sembilan dengan mengeluarkan ayat ‘Padan Muka’.

“Adakah penulisan beliau ke arah emosi?” soal Biro Pemuda Bersatu Megat Muhamamd Faris dalam kenyataannya hari ini.

Semalam Wan Nordin dalam kenyataannya di portal parti Islam itu mendakwa: “…mungkin PPBM Negeri Sembilan lupa bahawa itu pembalasan dendam oleh PKR mahupun PAN (AMANAH) selepas mereka dibuli dibeberapa negeri. Padan lah muka masing masing kerana hari ini adegan balas membalas memang menjadi trend dalam PH.

“Selepas berakhir konvensyen, katanya ahli PPBM yang tidak puas hati menyatakan akan mensabotaj undi agar undi untuk rakyat beralih kepada Umno. Maka terbuktilah telahan rakyat sebelum ini bahawa PPBM hanya alat Umno untuk terus berkuasa dengan memperbodohkan PH dan menjadikan PH ‘kuda tunggangan’.

“Apa beza mereka dengan Umno jika sikap begini masih berlaku?Inilah teladan dari kepimpinan mereka. PH bersatu atas dasar emosi dan hanya mahu kuasa, sedangkan nasib rakyat tidak ada dalam kamus pembelaan mereka.” ujarnya yang merujuk kepada kekecohan yang dicetuskan oleh 40 ahli Pemuda Bersatu Negeri Sembilan dalam Konvensyen Pakatan Harapan ke-2 yang diadakan semalam.

Menurut Megat Muhammad lagi, walaupun kerusi Dun PH di Negeri Sembilan tidak memihak kepada partinya, namun reaksi sekumpulan pemuda Bersatu yang menzahirkan ketidakpuashati hati mereka sebagai satu perkara yang ‘jujur” berbanding Pas ujarnya, yang masih lagi tidak menamakan siapa calon perdana menteri mereka.

“Kami mungkin beremosi ketika pembahagian kerusi PH Negeri Sembilan tidak berpihak kepada PPBM tetapi dalam satu aspek kami jujur.

“Bagaimana dengan pendirian Pas dalam menamakan Calon Perdana Menteri?

“Adakah ini juga wajah Pemuda Pas Negeri Sembilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Negeri Sembilan?” soalnya.

Justeru Pemuda Bersatu Negeri Sembilan mendesak agar Pemuda Pas Negeri Sembilan memohon maaf atas tuduhan yang mendakwa Bersatu di negeri itu sebagai alat kepada Umno.

“Saya Megat Muhammad Faris Biro Pemuda PPBM Negeri Sembilan menggesa pemohonan maaf beliau.” ujarnya.

Dalam pembahagian kerusi Dun di negeri itu Bersatu memperoleh 6 kerusi (Palong, Sri Menanti, Chembong, Gemencheh, Pertang dan Bagan Pinang); AMANAH 7 kerusi (Serting, Johol, Klawang, Lenggeng, Paroi, Senaling dan Kota); DAP 11 kerusi (Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Rahang, Mambau, Senawang, Bukit Kepayang, Lukut dan Repah) dan; PKR 12 kerusi (Jeram Padang, Sikamat, Ampangan, Juasseh, Pilah, Labu, Rantau, Chuah, Bagan Pinang, Port Dickson, Gemas dan Sungai Lui).