Malaysia Dateline

Kerusi Dun: PH Negeri Sembilan beri menang mudah pada BN, dakwa Bersatu

Kekecohan yang berlaku dalam pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun)  Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan semalam, dilihat hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Pemuda Bersatu Negeri Sembilan  Mohd Shahrul Anuar Abu Samah.

Beliau berkata, dengan pembahagian kerusi yang tidak menepati suara akar umbi parti adalah berat sebelah.

“Pembahagian kerusi di semua Dun Negeri Sembilan dilihat berat sebelah dan tidak mengikuti fakta yang di keluarkan oleh akar umbi yang membuat kerja dari bawah.

“Melihat kepada keputusan pembahagian kerusi PKR (12 kerusi) DAP (11) dan Amanah 7 kerusi menunjukkan fenomena bahawa PH Negeri Sembilan dengan secara sukarela memberi kemenangan mudah kepada Barisan Nasional,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Konvensyen Pakatan Harapan Negeri Sembilan Kali ke-2 bertukar kecoh apabila lebih kurang 40 ahli akar umbi Bersatu tidak berpuashati setelah Bersatu hanya mendapat 6 kerusi.

Kerusi yang diberikan ialah Palong (Jempol), Seri Menanti (Kuala Pilah), Chembong (Rembau), Gemencheh (Tampin), Pertang (Jelebu) dan kerusi Bagan Pinang (Port Dickson) iaitu ‘kawasan hitam’ yang tidak diingini parti lain.

Ianya telah melahirkan rasa tidak puas hati di kalangan akar umbi Bersatu Negeri Sembilan dengan laungan “tidak adil” , “boikot”, dan “runding semula” .

Kekecohan berlaku dengan membuat bising pada penghujung ucapan Presiden Pakatan Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir Timbalan Presdien Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut Shahrul lagi beberapa rundingan bersama PKR dan Amanah oleh Ketua Perhubungan PPBM Negeri Sembilan Baharuddin Ahmad tidak di ambil kira dan dipandang enting.

“Seolah-olah memperlihatkan bahawa PKR dan Amanah tidak menerima hakikat secara rasional bahawa PPBM berpotensi menang di Negeri Sembilan dan mereka terlalu bongkak dan ego ingin mendapatkan kerusi-kerusi Dun.

“Sifat mereka hanyalah ingin mendapatkan sokongan dan aura Tun Mahathir melalui PPBM yang akan dipergunakan oleh mereka untuk meraih undi,”dakwanya.

Justeru katanya,Bersatu di negeri itu akan berjuang untuk mempertahankan kerusi yang dingin ditandingi iaitu 11 kerusi Dun.

Sebanyak 11 kerusi itu adalah Ampangan, Labu, Linggi, Jeram Padang, Sri Menanti, Gemencheh, Kuala Klawang, Paroi (1 kerusi setiap Dun) dan Bagan Pinang, Simpang Pertang dan Serting (3 kerusi kubu kuat Umno).

“Jika ini berlaku(diserah pada Bersatu) ia akan menyukarkan jalan kemenangan bagi BN pada PRU-14.

“Bagi kami tindakan ini adalah tindakan sepakat dan satu hati kami akar umbi PPBM Negeri Sembilan untuk terus berjuang mempertahankan 11 kerusi ini,” ujarnya.