Malaysia Dateline

Kerusi Exco: Pemuda Amanah P.Pinang harap kerajaan negeri kembali ke meja rundingan

Pemuda AMANAH Pulau Pinang berharap kekosongan kerusi Exco yang dilepaskan Dr Afif Bahardin semalam haruslah kembali ke meja rundingan bersama-sama dengan semua pimpinan dari Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

Ketua Pemudanya, Muhamad Khairul Mohd Ali berkata, dengan semangat setiakawan dan berprinsip dalam gabungan kerajaan PH, AMANAH Pulau Pinang akan terus menyokong kerajaan negeri dibawah kepimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Bagaimanapun katanya, Pemuda AMANAH Pulau Pinang berharap agar dipertimbangkan untuk melantik seorang Adun dari AMANAH sebagai Exco Kerajaan Negeri.

“AMANAH Pulau Pinang perlu diberi peluang dan ruang untuk sama-sama beraksi sebagai rakan kongsi PH khususnya di Pulau Pinang.

“Pemuda AMANAH Pulau Pinang amat berharap Ketua Menteri dapat mempertimbangkan untuk melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari AMANAH sebagai Exco Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Ini kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, PH Pulau Pinang memenangi 37 kerusi Dun, dengan DAP menang semua 19 kerusi, PKR (14), Bersatu dan AMANAH masing-masing hanya 2 kerusi Dun.

AMANAH diwakili Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil dan Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz.

Bagaimanapun tiada wakil AMANAH dan Bersatu dilantik sebagai Exco pentadbiran kerajaan negeri itu di bawah Pakatan Harapan.

“Ianya umpama seorang pemain bola sepak profesional, lebih banyak ‘minutes play’ maka lebih tinggi prestasi yang akan ditunjukkan,” tambah beliau.

Beliau juga berharap supaya mengekalkan PH dan menolak sebarang pengkhianatan serta kekal berprinsip.

Semalam Mesyuarat Exco Pulau Pinang menerima peletakan jawatan Adun Seberang Jaya dari PKR, Dr Afif Bahardin, sebagai Exco Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Peletakan jawatan itu berlaku selepas bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu menegaskan akan kekal dalam parti dan komited kepada PH yang memenangi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang dalam pilihan raya umum lalu.

Afif adalah antara penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin bersama 10 ahli parlimen lain meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu, BN dan Pas menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.