Kerusi MB Perlis masih jadi tarik tali

Datuk Ismail Kassi, Adun Tambun Tulang yang juga merupakan adik kepada Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Walaupun pilihan raya umum (PRU) telah berlalu sejak 9 Mei yang lalu, Negeri Perlis masih lagi belum mendapat Menteri Besar (MB) yang baharu.

Dalam PRU baru-baru in daripada keseluruhan 15 kerusi Dun yang dipertandingkan ternyata Barisan Nasional (BN) telah berjaya memenangi 10 kerusi Dun, PKR 3 dan Pas 2 kerusi.

Kemenangan yang diraih oleh BN tersebut masih lagi tidak mampu untuk menobatkan mereka sebagai sebuah kerajaan negeri sehingga kini.

Pelbagai spekulasi timbul sehinggakan ianya berlarutan melewati lebih 11 hari.

Sebelum ini terdapat ura-ura MB penggal lalu, Datuk Seri Azlan Man akan dinobatkan sebagai MB sekali lagi setelah berjaya memenangi kerusi Dun Bintong.

Namun begitu desas-desus bahawa adik kepada Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim iaitu Datuk Ismail Kassim turut dicadangkan sebagai MB yang baru.

Ismail yang memenangi kerusi Dun Tambun Tulang dengan majoriti 1180 undi menjadi saingan kerana BN Perlis sendiri mempunyai dua kem.

Pencalonan Ismail sebagai MB Perlis yang baru oleh Pengerusi BN tersebut setakat ini masih belum mendapat perkenan pihak Istana.

Malah sebelum ini pun pihak Istana memohon untuk diberikan ruang bagi mengenali calon-calon yang ada sebelum pelantikan dapat dibuat.

Noor Azam Karap, Adun PH Kuala Perlis.

Manakala Pakatan Harapan (PH) melalui PKR yang memenangi kerusi Dun Sena, Indera Kayangan dan Kuala Perlis dipercayai mendapat sokongan senyap lima Adun BN yang akan memberi sokongan secara bertulis.

Sedangkan Pas yang memenangi kerusi Dun Guar Sanji dan Dun Sanglang tetap dengan pendirian serta diyakini tidak mahu bekerjasama dengan PH.

Seandainya ia menjadi realiti maka PH mampu menerajui kepimpinan kerajaan negeri Perlis buat julung-julung kalinya walaupun Adun BN tidak melompat parti.

PH akan mempunyai 8 kerusi yang didokong oleh 3 Dun PH yang dimenangi oleh PKR serta 5 lagi kerusi Dun BN yang akan memberi sokongan secara senyap.

Adun Kuala Perlis, Noor Azam Karap ketika ditemui berkata PH mempunyai keyakinan dapat membentuk kerajaan negeri sekiranya percaturan ini menjadi kenyataan.

Beliau yang telah berjaya mengalahkan calon BN dan Pas dengan majoriti 1254 undi baru-baru ini optimis kemelut pelantikan MB Perlis boleh diselesaikan dengan segera.

“Perkenan Tuanku Raja Perlis adalah suatu perkara yang amat penting dan harus diberi keutamaan.

“Baginda mahukan sebuah kerajaan yang benar-benar kukuh dan dapat mentadbir negeri dengan baik dan sempurna.

“Perlis perlukan perubahan drastik bagi memastikan rakyat dalam negeri ini dapat mengecap segala pembangunan secara adil jika dibandingkan dengan kepimpinan BN sebelum ini,” jelasnya lagi.

CATEGORIES