Kerusi ‘pengkhianat’ yang mana jadi pilihan Anwar, Gombak atau Ampang?

Oleh NASUHA RAHMAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak mungkin akan bertanding di kerusi yang disandang oleh salah seorang “pengkhianat” kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Kenyataan Presiden PKR itu memberi gambaran beliau akan bertanding di kerusi Gombak serta Ampang yang pernah dikuasai pemimpin utama parti itu.

“Saya perlu memilih kawasan yang dipegang oleh pengkhianat. Ini adalah mesej bahawa khianat dalam politik tidak boleh diterima,” kata Anwar.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan kerusi parlimen mana yang akan ditandinginya.

“Ada kemungkinan besar saya akan bertanding di kerusi ‘pengkhianat’,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu pada program Sembang Kencang Kelab Wartawan Kuala Lumpur (KLS) @DSAI di Petaling Jaya malam tadi.

Anwar juga berkata beliau bertanding di Port Dickson sebelum ini untuk menambah baik kerusi parlimen di Negeri Sembilan.

Pada Feb 2020, bekas timbalan presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengetuai 10 ahli parlimen pada Feb 2020 dalam acara yang digelar sebagai “Langkah Sheraton” yang kemudiannya menyaksikan kejatuhan bekas kerajaan Pakatan Harapan selepas hanya 22 bulan.

Antara pengkhianat yang dipercayai dimaksudkan oleh Anwar ialah Azmin, yang kini Ahli Parlimen Gombak, Menteri Luar dan Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Edmund Santhara Kumar Ramanaidu, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Pada Isnin, Anwar menafikan dakwaan bahawa beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Ampang, yang kini disandang bekas veteran PKR Datuk Zuraida Kamaruddin.

Anwar juga menafikan beliau takut untuk mempertahankan kerusinya di Port Dickson kerana ia adalah kerusi majoriti Melayu.

Baca juga: Denda menanti pada sesiapa yang ambil ganja semasa bercuti ke Thailand

Baca juga: Pemakaian pelitup muka ketika naik kapal terbang tak wajib