Malaysia Dateline

Kes 1MDB: Pengurus bank beritahu mahkamah RM90.9 juta masuk ke akaun peribadi Najib 

Saksi Ke-37 bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu Pengurus cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa akaun Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kemasukan wang RM90.9 juta melibatkan dua transaksi pada tahun 2012.

R. Uma Devi, 43, berkata, sebanyak RM15,149,963.64 dimasukkan ke dalam akaun bekas perdana menteri itu pada 31 Oktober, manakala RM75,749,963.64 pada 20 November 2012.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya, dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion milik 1MDB membabitkan bekas perdana menteri itu.

“Saya memperakui dan mengesahkan bahawa dokumen itu telah dicetak dari komputer milik AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan,” katanya membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam.

Dalam penyataan pembukaan pada 2019, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Najib yang bertindak melalui ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah menyebabkan 1MDB terlibat dalam dua transaksi di mana tertuduh memperoleh sejumlah RM90,899,927.28.

Sementara itu Uma Devi berkata, pada November dan Disember 2011, Najib telah mengeluarkan cek berjumlah RM2,494,000 kepada beberapa pihak.

Wang itu katanya, telah dikeluarkan kepada beberapa pihak antaranya Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM494,900) Yayasan Rahah (RM1 juta), ORB Solutions Sdn Bhd (RM450,000) Mashi Publication Sdn Bhd (RM30,000) dan Transformasi Kreatif (RM520,000).

Najib sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat pertuduhan rasuah di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Baca juga: Tular memo pegawai kanan polis diminta bayar RM30 untuk kenduri kahwin anak Ketua Polis KL

Baca juga: Tak apa, semalam padang licin dik – Netizen terhibur tengok adik ini nangis siap campak baju lepas Malaysia kalah