Malaysia Dateline

Kes Adib: Percepatkan inkues untuk elak persepsi negatif

Pihak berkuasa digesa mempercepatkan inkues bagi mengenal pasti punca kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bagi mengelak persepsi negatif dalam kalangan penjawat awam terutama pasukan penyelamat.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata siasatan yang lambat boleh melemahkan semangat anggota bomba serta pasukan penyelamat lain yang terlibat dalam bidang ‘kritikal’.

“Kita tidak mahu sebarang alasan untuk melambatkan-lambatkan inkues kerana sekiranya lambat, ia boleh menimbulkan persepsi negatif di kalangan ahli keluarga, rakan-rakan sejawat dan pasukan penyelamat yang lain.

“Kita bersama 6.5 juta ahli ANGKASA mahukan pembelaan yang sewajarnya dan kita mahu orang yang bersalah dihukum dengan segera,” katanya pada sidang media selepas melawat keluarga Allahyarham di rumahnya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini semalam.

Dalam lawatan itu, ANGKASA menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada keluarga Allahyarham kerana Muhammad Adib Allahyarham adalah anggota Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata beliau juga mahu orang ramai memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada kerajaan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyelesaikan perkara terbabit.

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.14 malam selepas dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah pada 18 Dis lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata Angkasa bercadang untuk menyelaraskan pemberian sumbangan khairat kematian membabitkan semua 14,000 koperasi di seluruh negara bagi memudahkan pemberian bantuan tersebut.

— BERNAMA