Kes Adib: Tommy Thomas digesa tampilkan empat individu

Kes Adib: Tommy Thomas digesa tampilkan empat individu
Himpunan Aman Pembelaan Untuk Arwah Adib, di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru, hari ini

Bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim, meminta Peguam Negara, Tommy Thomas supaya menampilkan empat individu yang pernah dikaitkan dalam insiden anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim kerana didakwa tidak lagi berada di negara ini.

Zamil berkata, wajah keempat-empat mereka tidak langsung kelihatan selepas pihak mahkamah membebaskan mereka.

“Kita dapat tahu dan Tommy tolong dengar ini, saya sekarang menuduh empat orang tersebut tidak ada di Malaysia pada ketika ini.

“Tolong nafikan tuduhan saya ini. Saya menuduh empat orang itu sedang bekerja mengutip buah di Australia.

“Saya tuduh. Jadi, tolong nafikan tuduhan saya bahawa mereka masih berada di Malaysia.

“Inkues telah pun tamat dan kita cuma minta beliau (Tommy) tampilkan empat orang lelaki India yang pernah dituduh pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Himpunan Aman Pembelaan Untuk Arwah Adib, di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Gagasan Tiga (G3).

Hampir 100 individu berhimpun dalam perhimpunan itu dengan melaungkan ’Undur Tommy’ beberapa kali.

Sementara itu, bagi menggesa Tommy meletakkan jawatan, Presiden G3, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya akan berkerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan aman setiap Jumaat.

“Perhimpunan itu akan dijalankan secara berterusan di masjid sekitar Lembah Klang.

“Selagi dia tidak melepaskan jawatannya, perhimpunan akan terus dijalankan,” katanya.