Malaysia Dateline

Kes aktif Covid-19 melambung 60 peratus, kematian naik 36 peratus sejak dua minggu

Negara menyaksikan 60,018 kes aktif Covid-19 hari ini sekali gus peningkatan 60 peratus dalam tempoh hanya dua minggu.

Daripada jumlah itu, 711 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 369 kes bergantung pada bantuan alat pernafasan.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, wabak itu juga meragut 61 nyawa menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini sudah mencecah 2,309 kes.

Pada 10 Mei lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 37,396 kes aktif dengan 434 pesakit ditempatkan di ICU manakala 224 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dua minggu lalu juga, terdapat 17 kes kematian baharu menjadikan kumulatif kematian disebabkan oleh Covid-19 ketika itu sebanyak 1,700 kes.

Ini bermakna sejak dua minggu lalu, jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat sebanyak 36 peratus.