Kes Altantuya: Tuduhan propaganda palsu lebih senang disebar, kata Najib

Kes Altantuya: Tuduhan propaganda palsu lebih senang disebar, kata Najib

Setelah diasak dalam wawancara dengan wartawan Al Jazeera mengenai kematian Altantuya Shaaribu, Mohd Najib Razak sekali lagi  hari ini, menjelaskan beliau tidak pernah berkenalan ataupun bertemu dengan model dari Mongolia itu.

Bekas perdana menteri itu menulis di laman Facebook hari ini, melahirkan rasa pelik mengapa ramai lagi tidak tahu pemimpin PKR sudah lama mengaku bahawa gambar yang disebarkan itu adalah bahan yang telah diubahsuai.

“Selepas saya nyatakan sekali lagi di dalam wawancara Al-Jazeera bahawa saya tidak pernah berkenalan ataupun bertemu dengan mendiang Altantuya.

“Saya lihat ramai lagi yang menuduh saya menipu hanya kerana mereka pernah lihat gambar yang tersebar kononnya saya duduk bersama Altantuya.

“Saya pelik mengapa ramai lagi tidak tahu bahawa Tian Chua dari PKR sudah lama mengaku bahawa gambar ini ialah bahan edit dilakukannya,” ujarnya yang turut memuatnaik keratan laporan media mengenainya.

Najib turut berkata, walaupun kejadian kes pembunuhan itu sudah berlalu 10 tahun tetapi masih ramai percaya kematian mendiang Altantuya berpunca daripada pengunaan bahan letupan C4.

“Sebagai satu lagi bukti bagaimana berkesannya pengaruh dari propaganda palsu ialah sehingga hari ini selepas lebih dari 10 tahun, ramai masih mempercayai bahawa bahan letupan yang digunakan dalam kes pembunhan itu ialah bahan letupan canggih C4 gred militari.

“Kebenarannya ialah pihak penyiasat forensik sudah lama memberitahu bahawa bahan yang ditemui di tempat kejadian bukan C4 tetapi adalah bahan letupan PETN dan RDX yang juga boleh didapati di setengah tapak pembinaan dan di kuari batu.

“Nampaknya, tuduhan dan propaganda palsu lebih senang disebar secara meluas di Malaysia berbanding penjelasan dan kebenaran,” tegasnya.