Malaysia Dateline

Kes Arwah Adib: Pandangan berdasarkan perspektif undang-undang

Saya lampirkan di sini beberapa petikan dari media berhubung isu tragis ini bagi kita insyaAllah mendapat perspektif sebenar isu ini.

Kita semua tahu bahawa inkues telah diadakan bagi mencari punca kematian arwah Adib ( Moga Allah merahmati arwah )

Berdasarkan laporan media tentang keputusan inkues, dilaporkan bahawa dapatannya adalah punca kematian arwah Adib kerana dipukul dan diserang pihak ketiga.

Siapa yang menyerang dan siapa yang memukul tidak diketahui dan jika benar diserang dan dipukul atas sebab apa pun tidak diketahui. Dan adakah serangan dan pukulan itu jika benar seperti yang dilakukan adakah ia mempunyai elemen jenayah pembunuhan juga tidak diketahui.

Mengapa semua itu tidak diketahui? Jawabnya, kerana Mahkamah Koroner yang kendalikan inkues tersebut tidak menyediakan jawapan kepada semua persoalan tersebut. Adakah itu bermakna Mahkamah Koroner telah tersilap kerana tidak sediakan semua jawapan itu?

Dengan hormat, bagi saya, Mahkamah Koroner tidak silap kerana itu bukan dalam skopnya atau skop perbicaraan inkues itu sendiri. Tujuan utama inkues adalah bagi mengetahui sebab atau sebab -sebab kematian. Titik.

Atas dasar itu, bagi saya, Ketua Polis Negara (KPN) adalah benar bila beliau dilapor media sebagai berkata keputusan Mahkamah Koroner tidak mengikat mana-mana pihak untuk mencari bukti . “Mana-mana pihak itu” sudah tentu antaranya pihak polis selaku agensi atau badan penyiasatan.

Menurut laporan media, pihak KPN dilapor berkata “sehingga kini, tiada saksi yang benar- benar dapat menyatakan nampak arwah Adib dipukul. Kesemua keterangan yang diperolehi adalah bersifat “hearsay” (keterangan dengar cakap yang biasanya tidak diterima) dan berupa pendapat”. Juga dimaklumkan bahawa keterangan saksi yang tidak konsisten dalam tiga rakaman percakapan. Juga diberitahu bahawa “dying declaration” perlu disiasat lanjut.

Yang terbaru pula media juga melapor kenyataan Timbalan Menteri KPKT yang menyatakan bahawa punca sebenar kematian arwah Adib juga tidak diketahui.

Pada 21 Jun 2020, media pula melaporkan bahawa YB Menteri Undang-Undang (JPM) menyatakan tindakan pendakwaan hanya boleh diteruskan selepas pihak polis mengenal pasti dan menahan “pembunuh”nya.

Media juga lapor ‘parti ehem’ dikatakan berpuashati dengan Kerajaan kerana siasatan kes arwah Adib masih diteruskan.

Sebelum ini, ‘parti ehem’ pernah dilapor media telah mendesak mantan Peguam Negara di zaman PH untuk meletakkan jawatan kerana gagal mendakwa “pembunuh” arwah Adib.

Maaf , berikut adalah komentar saya dari perspektif undang-undang berhubung isu ini.

a. Dengan hormat dan maaf, jika saya kata terlalu banyak kegopohan melampau pihak tertentu dalam membuat kesimpulan dan andaian dalam kes tragis arwah Adib ini. Orang kata “Justice delayed is justice denied” tapi ada juga yang kata “justice hurried is justice buried”.

b. Misalnya, disimpulkan dan dindaikan wujudnya “pembunuhan” sedangkan dalam masa yang sama pihak-pihak yang berkata sebegitu juga menyetujui bahawa siasatan polis bagi kes ini masih belum selesai dan masih belum disempurnakan. Maknanya, jika belum sempurna, maka IP ( Investigation paper /kertas siasatan ) belum diserah pada Peguam Negara/Pendakwa Raya.

c. Fakta bahawa siasatan tersebut belum selesai diperkuatkan oleh kenyataan KPN, YB Menteri Undang-Undang dan hatta kenyataan pemimpin ‘parti ehem’ yang berpuas hati siasatan kes itu masih diteruskan (menyokong kenyataan YB Menteri Undang-Undang parti ehem).

d. Kenyataan YB Timbalan Menteri KPKT bahawa punca sebenar kematian arwah Adib lagi mengesahkan andaian dan sangkaan serta kesimpulan bahawa arwah Adib dibunuh adalah, pada hemat saya, amat tidak wajar dan begitu pra matang. Orang putih kata ia semacam “a non-starter” kerana siasatan pun masih tak siap lagi.

e. Ya, ada kematian. Atau ya, mungkin ada serangan. Tapi adakah itu “ipso facto” punca kematiannya? Tanpa diketahui punca sebenar kematian, bagaimana boleh disimpulkan ada jenayah pembunuhan?

Bila siasatan belum disempurnakan, bagaimanakah hatta YB Menteri Undang -Undang pun masih boleh guna istilah “pembunuhan”? Bukankah itu adalah pra matang?

Hatta, diandaikan ada unsur jenayah sekalipun dan ada kematian juga, bagi saya amat tidak wajar YB Menteri Undang-Undang boleh secara tidak cermat menggunakan istilah “pembunuhan”. Hatta tidak guna “alleged murder” diandaikan ada pembunuhan sekalipun.

Bagaimana jika diandaikan setelah selesai siasatan polis, didapati tiada sebarang elemen jenayah pembunuhan (murder/homicide /القتل )? Tidakkah ini menunjukkan kegopohan dan ada sikap “jump the gun! di pihak YB Menteri Undang-Undang dan para penyokongnya?

Fakta yang tidak disangkal adalah ini: siasatan polis masih belum selesai atau disempurnakan! Justeru, bagaimana ada pihak boleh mendesak mantan AG di era PH untuk mendakwa “pembunuh” arwah Adib? Hatta fakta pembunuhan pun masih belum dimuktamadkan secara konklusif. Bagaimana mahu desak AG untuk mendakwa?

Kesimpulannya, bagi saya, sejak dari awal nampaknya seolah-olah isu ini telah didendangkan dengan irama emosi dan perasaan (hatta nada perkauman) secara berlebihan hingga aspek keadilan seolah-olah diketepikan begitu sahaja dan tidak penting.

Maaf, itulah pandangan saya. Ia tidak mengikat mana mana pihak. Maaf jika ada kesilapan.

 

Beliau adalah bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) dan Peguam