Kes babit pimpinan PH tidak seharusnya ditutup, kata Ketua Pembangkang P.Pinang

Kes babit pimpinan PH tidak seharusnya ditutup, kata Ketua Pembangkang P.Pinang

Muhammad Yusoff Mohd Noor

Adalah diharapkan kerajaan negeri Pulau Pinang yang ditadbir oleh Pakatan Harapan(PH) meneruskan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang, Muhamad Yusoff Mohd Noor, berkata, seharusnya kes-kes lain yang membabitkan pimpinan PH tidak ditutup dan diteruskan bagi memberi keadilan kepada semua pihak.

“Sejak PH menerajui kepimpinan negara didapati lima kes melibatkan sembilan orang telah pun digugurkan di mahkamah atas persetujuan dan arahan Peguam Negara.

“Ini termasuklah kes yang melibatkan Naib Presiden PKR iaitu Rafizi Ramli dan juga bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

“Begitu juga dengan kes melibatkan Sosma yang turut ditarik balik selepas PH memerintah negara, ” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Adun Sungai Dua turut berkata, kerajaan negeri tidak harus menarik balik kes rasuah yang membabitkan pertuduhan rasuah terhadap Lim Guan Eng.

Malah katanya, sepatutnya apa jua kes rasuah haruslah diteruskan dengan perbicaraan bagi mendapat keadilan.

“Usaha kerajaan negeri untuk membanteras gejala rasuah disokong.

“Namun begitu dalam kes yang melibatkan bekas Ketua Menteri, sekiranya ia bersalah atau tidak maka kesnya harus diteruskan terlebih dahulu.

“Setidak-tidaknya kes tersebut dapat diteruskan sehingga selesai, ” tegasnya lagi.

Pada 30 Jun 2016, Lim Guan Eng telah dituduh menggunakan jawatan awamnya untuk meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menukar status tanah pertanian kepada perumahan.

Beliau juga telah dituduh menggunakan kedudukannya untuk membeli sebuah banglo dari ahli perniagaan, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta dibawah harga pasaran sebenar sebanyak RM4.27 juta, manakala Phang telah dituduh bersubahat dalam kes tersebut.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote