Malaysia Dateline

Kes baharu 1,348, jumlah kes positif hampir cecah 100 ribu

Sebanyak 1,348 kes baharu direkod hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 98,737 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 18,279 kes, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 16 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,332 kes.

Sehingga kini, katanya terdapat 102 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 44 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan lima kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif
kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 444 kes (0.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Negeri Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi untuk lapan (8) hari berturut-turut iaitu sebanyak 535 kes (39.7 peratus).

Daripada jumlah ini, sebanyak 363 kes (67.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat
COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 226 kes (16.8 peratus) dan Sabah sebanyak 189 kes (14.0 peratus).

Bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 710 kes Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 80,014 kes.