Malaysia Dateline

Kes baharu 959 kes, 127 dalam ICU dan 5 kematian

Kes harian baharu sebanyak 959 kes telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 76,265 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 10,748 kes, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 953 kes.

Sehingga kini katanya, terdapat 127 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 61 kes memerlukan bantuan pernafasan

“Hari ini terdapat pertambahan lima kes kematian COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 393 kes (0.52 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),”katanya.

Katanya, sebanyak empat kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini manakala jumlah kluster yang telah tamat
pula adalah sebanyak 211 kluster termasuk empat kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Gala, Kluster
Harmoni, Kluster Mahkota dan Kluster Bah Kenangan

Bagaimanapun katanya, Negeri Selangor hari ini melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 277 kes (28.9 peratus). Ini diikuti oleh negeri Sabah sebanyak 203 kes (21.2 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 129 kes (13.5 peratus).

“Bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,068 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 65,124 kes,” katanya.