Malaysia Dateline

Kes baharu catat penurunan dua angka dengan 15 kes, tiada kematian

Jumlah kes baharu positif Covid-19 pada hari ini, kembali mencatatkan penurunan dua angka iaitu 15 kes berbanding 187 kes pada semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 15 kes baharu yang dilaporkan, enam kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada sembilan kes penularan tempatan pula, empat kes adalah bukan warganegara Malaysia.

“Dimaklumkan juga15 kes baharu itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,619 kes.

“Oleh itu jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,421 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, sehingga kini, seramai lapan kes positif wabak itu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Bagi status terkini pesakit yang telah pulih, Dr Noor Hisham memaklumkan, 42 kes telah pulih dan dibenarkan pulang pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,083 kes bersamaan 79.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Hari ini tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak ini di Malaysia kekal sebanyak 115 kes bersamaan 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya lagi.