Malaysia Dateline

Kes baharu Covid-19 kembali ke satu angka, 16 pesakit discaj dari wad

Dr Noor Hisham turut menegaskan hukuman boleh dikenakan ke atas individu yang melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerharian di rumah bagi Covid-19.

Kes baharu positif Covid-19 kembali ke satu angka selepas dua hari merekodkan masing-masing 10 dan 18 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan tiga kes baharu positif Covid-19 hari ini membabitkan warganegara Malaysia.

Menurutnya, dua daripada kes tersebut adalah penularan dalam negara dan satu kes mendapat jangkitan dari luar negara.

Bagi penularan dalam negara, jelasnya, masing-masing satu kes dikesan di Selangor iaitu ketika saringan pra-prosedur bagi rawatan penyakit barah darah dan kes saringan tempat kerja iaitu sebuah pasar di Sandakan, Sabah.

Beliau berkata, pertambahan tiga kes berkenaan menjadikan jumlah positif Covid-19 di negara ini kepada 8,637 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 182 kes.

“Sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam sidang media Covid-19, di Putrajaya petang tadi.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di negara ini adalah kekal sebanyak 121 kes iaitu 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan
kes.

Dalam masa sama, beliau memberitahu terdapat 16 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,334 kes iaitu 96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.