Malaysia Dateline

Kes baharu Covid-19 rekod paling tinggi, 23 terkorban, 45 di ICU

Sebanyak 235 kes baharu Covid-19 telah dilaporkan sehingga tengah hari tadi menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 2,031 kes sekali gus rekod paling tinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 60 daripada 235 kes baharu itu berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Dalam sidang medianya di Putrajaya hari ini, beliau turut mengumumkan empat lagi kematian berlaku dengan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 sebanyak 23 kes.

Berikut butiran empat kes kematian tersebut:

1. Kes kematian ke-20 – kes ke-780, lelaki warganegara Malaysia berumur 76 tahun. Beliau merupakan peserta perhimpunan di Seri Petaling dan dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan mulai 18 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 25 Mac 2020, jam 4.35 petang.

2. Kes kematian ke-21 – kes ke-1588, lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun. Beliau juga merupakan peserta perhimpunan di Seri Petaling dan telah dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 23 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020, jam 4.00 pagi.

3. Kes kematian ke-22kes ke-1797, lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik. Beliau juga telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan juga mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19 yang menghadiri perhimpunan yang sama. Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor dan disahkan meninggal dunia pada 23 Mac 2020, jam 8.15 malam.

4. Kes kematian ke-23 – kes ke-1840, lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dari Kajang. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik. Beliau telah dirawat di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak mulai 23 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 25 Mac 2020, jam 12.37 tengah hari. Kes beliau masih dalam siasatan sekiranya mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster Covid-19.

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham memberitahu 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat
di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 32 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, 16 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah discaj dari wad adalah sebanyak 215 kes.

Dr Noor Hisham memberitahu 60 daripada 235 kes baharu Covid-19 berkaitan kluster perhimpunan tabligh Masjid Sri Petaling.