Malaysia Dateline

Kes baharu Covid-19 separuh dari kes sembuh hari ini

Jumlah kes harian baharu Covid-19 terus menurun hari ini apabila 2,176 kes dilaporkan manakala kes sembuh baharu pula sebanyak 4,521 kes.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, jumlah kumulatif kes pandemik tersebut di negara ini dilapor 266,445 kes.

Terdapat 47,135 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dilaporkan dengan 260 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 112 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan

“Selangor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 910 kes, diikuti Johor dengan 269 kes dan Sarawak iaitu 246 kes.

“Hanya dua negeri tidak mencatatkan pertambahan kes pada hari ini iaitu Perlis dan Labuan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, 10 kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan warganegara menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 bertambah kepada 975 kes atau 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian pada hari ini melibatkan lima kes di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2), serta masing-masing satu kes di Sabah, Johor, dan Perak.