Malaysia Dateline

Kes baharu Covid-19 terendah selepas hampir empat bulan

Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan jumlah kes baharu Covid-19 tiga angka dengan 941 kes baharu sehingga tengah hari tadi.

Angka yang dilaporkan hari ini buat pertama kali dicatatkan selepas hampir empat bulan kes harian pandemik itu dilaporkan empat angka.

Kali terakhir KKM merekodkan kes tiga angka pada 9 Disember tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Malaysia sudah mencatat sejumlah 342,885 kes positif Covid-19 sejak penularannya di negara ini pada akhir Januari tahun lalu.

Jelasnya, sebanyak 933 daripada 941 kes direkodkan hari ini membabitkan jangkitan tempatan dengan 653 warganegara, warga asing (280) dan lapan kes lagi membabitkan kes import iaitu dua rakyat negara ini dan enam bukan warganegara.

Jumlah kes aktif ketika ini, katanya lagi, sebanyak 14,219 kes dengan 73 daripada 166 kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) memerlukan bantuan pernafasan.

Berdasarkan statistik yang dikongsi itu, Selangor mencatatkan 219 kes positif baharu hari ini, diikuti Sarawak (192) dan Johor (171), manakala Perlis kekal pada angka sifar.

Dalam masa sama, lima lagi kes kematian berkaitan Covid-19 direkodkan, iaitu empat warganegara dan seorang bukan warganegara.

Rekod tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian membabitkan wabak yang sedang dibanteras melalui suntikan vaksin itu mencecah 1,260 kes atau 0.37 peratus daripada kes yang dilaporkan setakat ini.

“Sebanyak 1,097 kes pulih juga dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes sembuh sepenuhnya di negara ini sebanyak 327,406 kes atau 95.5 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan,” kata Dr Noor Hisham lagi.