Malaysia Dateline

Kes baharu Covid-19 terus lepasi 5,000 kes, lagi 14 kematian hari ini

Malaysia terus mencatatkan kes baharu melepasi angka 5,000 dengan hari ini turun sedikit berbanding semalam kepada 5,298 kes.

Daripada jumlah itu, tiga daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 214,959 kes.

Untuk rekod hari ini, Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi iaitu sebanyak 2,460 kes diikuti Johor 1,020 kes.

Dalam masa sama, jumlah kes aktif terus meningkat kepada 48,150 kes dengan 313 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 127 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Lagi 14 kes kematian dilapor sehingga jam 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah kematian kini mencecah 760 kes.

Sementara itu, 4,522 pesakit sembuh hari ini sekali gus menyaksikan 166,049 pesakit sudah pulih iaitu 77.3 peratus daripada keseluruhan kes.