Malaysia Dateline

Kes baharu Covid-19 turun, kes ICU naik

Kebanyakan indikator utama menunjukkan trend penurunan kes Covid-19 pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 berakhir 6 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga 6 November lalu, sebanyak 2,501,966 kes kumulatif Covid-19 dicatatkan dengan 65,505 kes aktif dan 29,256 kes kumulatif kematian.

Kementerian Kesihatan (KKM) bagaimanapun, jelasnya, merekodkan peningkatan dua peratus kadar kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding minggu epidemiologi ke-43.

Menurutnya, pada ME ke-44 iaitu dari 31 Oktober sehingga 6 November, KKM mendapati kes baharu Covid-19 menunjukkan penurunan 13.1 peratus iaitu daripada 40,613 kes (ME ke-43) kepada 35,303 kes (ME ke-44).

“Purata kes aktif menunjukkan penurunan 7.0 peratus iaitu daripada 70,829 kes (ME ke-43) kepada 65,573 kes (ME ke-44) dan ia konsisten sejak sembilan minggu lalu.

“Kes kematian menunjukkan penurunan 27.2 peratus iaitu daripada 522 kes (ME ke-43) kepada 380 kes (ME ke-44),” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat 2.0 peratus iaitu 505 kes (ME ke-43) kepada 516 kes (ME ke-44) manakala kes yang memerlukan bantuan pernafasan tidak menunjukkan perubahan ketara dan kekal 214 kes (ME ke-44).

Jelasnya, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara turut menyusut daripada 0.96 kepada 0.91 sejak 1 November.

Sehingga 6 November juga, katanya, sebanyak kumulatif 5,719 kluster dilaporkan di negara ini dengan 335 kluster masih aktif, penurunan 23.5 peratus berbanding ME ke-43.

“Sebanyak 137 kluster sudah diisytiharkan tamat pada ME ke-44, menjadikan penurunan 17 peratus berbanding ME ke-43.

“Sebanyak 34 kluster dilaporkan pada ME ke-44 terdiri daripada 18 atau 52.9 peratus kluster tempat kerja, tujuh atau 20.5 peratus kluster pusat pendidikan, enam (17.6 peratus) kluster komuniti serta masing-masing satu (3.0 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster aktiviti keagamaan dan kluster pusat tahanan,” tambahnya lagi.