Malaysia Dateline

Kes baharu mingguan COVID-19 turun 14.2 peratus

Kes baharu COVID-19 di seluruh negara turun 14.2 peratus kepada 3,231 kes pada Minggu Epidemiologi 1 (ME 1/2023) iaitu dari 1 hingga 7 Jan, berbanding 3,767 kes pada ME sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes tempatan turun 14 peratus daripada 3,735 kes kepada 3,213 kes bagi ME1/2023 dan kes import juga turun 43.8 peratus daripada 32 kes kepada 18 kes.

“Bilangan kes sembuh pada ME 1/2023 menurun 35.6 peratus (5,869 kes kepada 3,781 kes). Bilangan kes kematian pada ME 1/2023 menurun 4.5 peratus (22 kes kepada 21 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya secara kumulatif, 5,029,908 kes baharu COVID-19 direkodkan sejak 25 Jan 2020 (ME 4/2020) hingga 7 Jan lepas sementara 4,981,975 kes sembuh dan 36,874 kes kematian dicatatkan bagi tempoh sama.

Dr Noor Hisham berkata 7,167 kluster direkodkan secara kumulatif dengan sembilan kluster masih aktif.

Mengenai kemasukan pesakit ke hospital dan Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk, beliau berkata secara keseluruhannya ia turun dua peratus.

Turut menunjukkan trend penurunan adalah jumlah kemasukan ke hospital awam bagi kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala) dengan penurunan 15.4 peratus, manakala bagi kategori tiga (mempunyai radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) serta lima (perlu alat bantuan pernafasan) turun 7.7 peratus.

Selain itu, beliau berkata peratus pengisian katil fasiliti termasuk katil bukan kritikal dan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) serta kes positif COVID-19 yang dipantau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara turut menunjukkan penurunan.

— BERNAMA

Baca juga : https://malaysiadateline.com/bekas-pengerusi-ngo-bergelar-datuk-antara-ditahan-sprm/