Malaysia Dateline

Kes baharu positif COVID-19 tertinggi hari ini 1,755 kes

Kes positif COVID-19 pada hari ini mencatat jumlah yang paling tinggi iaitu sebanyak 1,755 menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 38,189 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,530 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah daripada 1,755 kes baharu pada hari ini, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan dua
warganegara dan satu bukan warganegara yang tiba dari negara Arab Saudi (1 kes di Sarawak), Afrika Selatan (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), dan Myanmar (1 kes di Johor).

Sehingga kini, katanya, terdapat 78 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, beliau memberitahu terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan COVID-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 279 kes (0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Katanya, negeri Sabah mencatatkan sebanyak 1,199 kes (68.3 peratus) daripada keseluruhan kes positif pada hari ini.

“Sebanyak 741 kes (42.2 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster penjara dan Pusat Tahanan Sementara (PTS).

“Ini melibatkan Kluster PTS Tawau (372 kes), Kluster Penjara Sandakan (184 kes), Kluster Seberang Perai (162 kes), Kluster Tembok (10 kes), Kluster Penjara Kepayan (8 kes), Kluster Penjara Reman (3 kes), dan Kluster Benteng LD (2 kes).

“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 191 kes (10.9 peratus) dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan mencatatkan sebanyak 59 kes positif (3.4 peratus) pada hari ini. Kelima-lima negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyumbang sebanyak 1,449 kes (82.6 peratus) daripada keseluruhan kes positif COVID-19 pada hari ini,” katanya.