Malaysia Dateline

Kes baharu turun ke 851 kes berbanding semalam

Kes harian baharu pada hari ini turun ke tiga angka iaitu sebanyak 851 kes menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 68,020 kes berbanding semalam mencatat sebanyak 1,472 kes.

Manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 10,686 kes, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 847 kes.

Tambahnya, terdapat 122 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 47 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 365 kes (0.54 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya dalam kenyataan.

Bagi perkembangan jangkitan di peringkat negeri, beliau berkata, negeri-negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 334 kes (39.2 peratus).

Katanya, daripada jumlah ini negeri Selangor melaporkan sebanyak 249 kes (74.6 peratus) dan jumlah pelaporan kes harian kedua tertinggi pula dicatatkan oleh negeri Sabah iaitu sebanyak 229 kes (26.9 peratus) dan diikuti dengan negeri Johor sebanyak 102 kes (12.0 peratus).

Bagaimanapun katanya, bilangan sembuh pada hari sebanyak 658 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 56,969 kes.