Malaysia Dateline

Kes baru Covid-19 kembali meningkat, 90 sembuh

Hanya selepas dua hari kes baharu positif Covid-19 turun, jangkitan pandemik itu kembali meningkat kepada 50 kes baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu 47 daripada kes itu adalah penularan tempatan dan selebihnya kes import.

“Daripada 47 kes penularan tempatan, 41 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 34 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ekoran itu, jelasnya, jumlah keseluruhan kes jangkitan yang dicatatkan mencecah 7,059 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 1,149 kes.

Menurut Dr Noor Hisham, seramai 90 lagi pesakit sembuh sepenuhnya sehingga tengah hari tadi sekali gus menyaksikan jumlah keseluruhan yang pulih dari Covid-19 ialah 5,796 kes.

Sementara itu, ujarnya, terdapat 10 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 114 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” tambahnya lagi.