Malaysia Dateline

Kes basikal lajak: Memang rumit mungkin bertukar kepada terbelit jika dipolitik

Kes seorang kerani wanita yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Johor Bahru dan dihukum penjara 6 tahun, denda RM 6,000 dan tidak layak untuk memandu bagi tempoh 3 tahun agak hangat dibincangkan di media sosial.

Ada juga yang meminta saya mengulasnya. Awalnya saya agak keberatan. Kenapa? Tiada mood. Itu sahaja.

Dalam tulisan ini, saya cuba sedaya upaya untuk tidak mengambil sebarang pendirian – sama ada bersetuju atau tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru itu.

Lagipun, kes itu kini sedang dalam proses rayuan, maka tidak manis untuk saya membincangkan merit atau demerit keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru itu.

Satu sahaja saya ingin sebutkan di sini. Pada hemat saya, dari persepektif undang-undang, ini adalah sebuah kes yang agak rumit.

Mungkin serumit atau lebih rumit lagi dari kes kes perundangan seperti kes euthanasia @mercy killing juga kes abortion.

Jujurnya, saya agak bersimpati dengan banyak pihak yang secara langsung atau tidak secara langsung terlibat dengan kes tersebut.

Misalnya, puan magistret yang membebaskan OKT sebanyak dua kali. Begitu juga pihak hakim Mahkamah Tinggi yang mensabitkan OKT bersalah dan menjatuhkan hukuman kepada OKT. Begitu juga pihak pendakwa dan pihak peguambela OKT.

Mungkin juga pihak OKT dan keluarga beliau dan pihak keluarga arwah mangsa seramai lapan orang juga berada dalam dilema yang tersendiri.

Menilai dari sudut itu, sebab itu saya katakan ianya sebuah kes yang amat sukar.

Apabila kes seperti ini tidak mustahil untuk dipolitikkan, dari rumit ia mungkin kini telah bertukar kepada terbelit!

Ada satu frasa undang-undang yang popular iaitu “hard cases make bad law”. Tetapi mendiang Lord Denning tidak setuju dengan frasa tersebut yang bagi dia “it is a misleading maxim” dan wajar dipadam dari “our vocabulary”.

Lazimnya, kesukaran sesuatu kes itu juga kadangkala mendorong penggubalan pindaan kepada Akta yang terlibat iaitu secara khusus Akta Pengangkutan Jalan.

Yang lebih menarik dalam kes ini ada juga pihak yang mencadangkan agar ibu bapa kepada mangsa juga wajar diambil tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak @ the Child Act.

Saya tidak pasti sejauh mana cadangan tersebut mengandungi asas dan merit yang kuat dari kacamata undang-undang?

Saya juga tidak pasti adakah jika cadangan itu ingin dilaksanakan, faktor yang para peguam sebut iaitu faktor “causation” iaitu salah satu elemen penting dalam undang-undang kecuaian (negligence) boleh dibuktikan dengan mudah?

Mungkin juga secara tidak sedar apabila ada yang mencadangkan ibu bapa mangsa juga perlu diambil tindakan, cadangan itu juga mungkin berpotensi membuka kotak Pandora (Pandora’s box).

Bila puan Majistret dilaporkan membebaskan OKT kerana antaranya mengambil kira isu kegelapan tempat kejadian atau kondisi jalan raya, adakah TNB dan JKR juga boleh dianggap bersalah?

Dikatakan basikal lajak yang digunakan oleh para mangsa telah pun diubahsuai, adakah pihak yang membantu kerja-kerja pengubahsuaian itu juga boleh dianggap bersalah atau bersubahat?

Ya, kadangkala agak sukar untuk mendekati sesuatu isu perundangan per se hanya dari sudut perundangan semata-mata.

Baca Kes langgar basikal lajak, sekali peguam ingatkan netizen tidak perlu emosi

Baca Hati-hati! Ini 5 jenis Extension Plug yang bahaya jika digunakan, boleh sebabkan kebakaran