Malaysia Dateline

Kes Batu Puteh: Mahathir anggap tuduhan tidak tepat dan mengelirukan

Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap tuduhan kononnya beliau enggan memberi kerjasama dalam siasatan menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Menurutnya, beliau dimaklumkan melalui surat pada 19 Mei lalu, memintanya hadir menghadiri sesi temubual yang ditetapkan Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di bawah Pasukan Petugas Khas (PPK) Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh yang dipengerusikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Katanya, susulan itu, surat bantahan pelantikan Apandi dibuat pada 23 Mei lalu apabila mendapati wujud konflik berkepentingan selepas perkhidmatannya sebagai Peguam Negara tidak dilanjutkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri Ketujuh.

“Dalam isu Batu Puteh, Apandi secara terbuka mengkritik keputusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan saya sebagai Perdana Menteri kerana mengambil keputusan tidak merayu keputusan ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa).

“Dia merupakan pengadu kepada kes ini dan melantiknya mengetuai badan ini bertentangan dengan ‘rule of law’ dan ‘natural justice’ yang menyatakan secara jelas ‘no man shall be the judge of his own cause’.

“Tentunya Menteri Undang-Undang dan Apandi khususnya, faham soal kedudukannya jika dia benar orang yang terpelajar dalam hal perundangan dan ‘rule of law’,” kata Ahli Parlimen Langkawi berkenaan dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendakwa keputusan Dr Mahathir enggan bekerjasama dalam siasatan menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selagi bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjadi Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) sebagai tindakan mengejutkan panel penemubual.

Jelas Dr Mahathir, bantahan itu tidak dihiraukan apabila beliau diminta hadir sesi temubual yang dijadualkan semula pada 28 Jun lalu, dengan Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Datuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin dimaklumkan sebagai penemubual.

“Sekali lagi secara bertulis pada 21 Jun 2022, saya memohon ketetapan berkenaan kedudukan Apandi kerana beliau sewajarnya menjadi saksi atau individu yang dipanggil untuk ditemubual.

“Di masa sama juga, saya membantah kedudukan penemubual Baljit Singh yang merupakan peguam kepada Apandi dalam kes beliau menyaman Kerajaan Malaysia dan saya berkaitan penamatan jawatannya sebagai Peguam Negara.

“Sekali lagi tiada jawapan kepada permohonan ketetapan dan bantahan saya tersebut. Bantahan ini dibuat setelah saya terima nasihat perundangan daripada peguam yang mewakili saya.

“Saya memelihara hak saya menurut undang-undang,” kata bekas Perdana Menteri itu lagi.

Baca juga Tun M jawab tentang isu Pulau Batu Puteh

Baca juga Mahathir sedia bertanding di PRU 15 jika tiada calon sesuai, hanya mahu pertahan kerusi Parlimen Langkawi