Malaysia Dateline

Kes Bella: Siti Bainun perlu rawatan abdomen, hakim tangguh bicara

Doktor mengesahkan Siti Bainun Ahd Razali yang berdepan pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan dikenali Bella perlu menjalani rawatan abdomen dan ujian darah esok.

Susulan itu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan prosiding bela diri membabitkan pengasas Rumah Bonda berusia 30 tahun itu.

Hakim Izralizam Sanusi, dilapor BH berkata, Rabu ini ditetapkan untuk sebutan kes, manakala Khamis dan Jumaat ini dikekalkan perbicaraan atau sebaliknya akan ditetapkan kemudian berdasarkan dokumen menyeluruh dikeluarkan doktor mengenai tahap kesihatan Siti Bainun.

“Saya kira tak dapat dielakkan (penangguhan prosiding). Namun, pengesahan dokumen daripada doktor perlu diteliti.

“Kesakitan atau ada masalah pendengaran adakah secara langsung menyebabkan Siti Bainun tidak boleh datang (mahkamah), itu kena disahkan.

“Ini kes penting, saya juga boleh panggil doktor untuk memberi keterangan. Jaminan diberikan kepada tertuduh mengikut budi bicara mahkamah.

“Tarikh bela diri sudah lama ditetapkan dan budi bicara perlu digunakan sebaik mungkin.

“Kalau tidak puas hati, saya boleh memanggil doktor yang menurunkan tandatangan dan menjelaskan kewajaran memberi cuti sakit (MC).

“Lebih spesifik keadaan adakah sakit telinga atau masalah mata yang menghalang tertuduh hadir perbicaraan,” katanya.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun diarahkan membela diri terhadap dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.

Baca juga Dah biasa dengan Honda Jazz dan Toyota Hilux, anak malu pula naik kereta buruk – Ibubapa dinasihat ajar makna bersyukur

Baca juga “Terima kasih yang doakan saya,” – Nash