Kes beri wang: Wan Azizah suruh periksa, Manogaran tidak tahu

Kes beri wang: Wan Azizah suruh periksa, Manogaran tidak tahu

Pelbagai reaksi pemimpin Pakatan Harapan (PH) ekoran penularan gambar wanita berbaju blok parti pemerintah itu yang dilihat memberikan wang tunai kepada beberapa belia Orang Asli.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu semua pihak tidak membuat sebarang andaian berhubung gambar yang didakwa pemberian rasuah ketika kempen pilihan raya Cameron Highlands.

“Betul ke? Anda tak boleh (nampak) orang beri (wang) dan ambil gambar.

“Kamu perlu periksa dulu. Tolong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Malaysia Positif 2019 di Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Sementara itu, calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran mendakwa tidak mengetahui dakwaan berhubung kes tersebut.

Timbalan Pengerusi DAP Pahang tersebut bagaimanapun tidak menafikan perkara itu berkata, siasatan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang maklum balas.

Menurut bekas calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu, dia tidak berada di tempat kejadian dan hanya tahu mengenai pemberian wang itu pagi tadi.

“Beri saya masa untuk melakukan siasatan terhadap dakwaan itu dan mengetahui apa yang sebenarnya berlaku sebelum memberi maklum balas,” ujarnya.

Manogaran berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Kampung Orang Asli Sungai Relong di Pos Mensun hari ini.

Ditanya sama ada wang itu datang daripada beliau selaku calon PH, Manogaran menafikan perkara tersebut.

“Bukan saya, saya tidak mengaturkan perkara itu (pemberian wang) dan saya tidak tahu bagaimana perkara itu berlaku.

“Berikan saya masa kerana selepas penamaan calon semalam, saya pergi ke Sungai Koyan,” jawabnya lagi dipetik dari Utusan Online.

PRK P.078 Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Januari ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, BN dan dua calon Bebas.

 

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), BN dan dua calon Bebas.