Kerajaan negeri Kelantan didesak agar menangani jenayah seksual secara bersepadu berikutan peningkatan kes sedemikian secara mendadak di negeri yang diperintah oleh Pas itu.
Tambahan pula ia dilaporkan dilakukan oleh mereka yang terlibat dengan pendidikan Islam.
“Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Negeri Kelantan prihatin dan amat bimbang dengan peningkatan jenayah seksual di negeri Kelantan,” kata Dr Hafidzah Mustakim, Ketua AWAN Kelantan dalam satu kenyataannya pagi ini.
Pada 17 Mei 2022 seorang remaja lelaki 14 tahun melaporkan dirinya diliwat selama 4 tahun oleh guru dan warden asrama sekolah agama di Tanah Merah.
Selang lima hari seorang murid lelaki berusia 12 tahun pula dipercayai dicabul dan cuba diliwat oleh seorang pengawal keselamatan di surau sebuah sekolah rendah agama di Tanah Merah.
“Kes-kes ini adalah testimoni kepada jenayah seksual yang terus meningkat di Negeri Kelantan sebagaimana di laporkan Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat baru -baru ini,” kata Dr Hafidzah.
Shafien berkata rekod jenayah rogol dan sumbang mahram tahun 2021 mencatatkan 100 kes iaitu peningkatan 19% berbanding tahun 2020 sebanyak 84 kes.
“Apa nak jadi dengan negeri ini?
“Kerajaan Negeri mesti bertanggungjawab menangani jenayah seksual dan gejala sosial daripada terus berleluasa,” katanya.
Beliau menekankan tentang pepatah Melayu yang berbunyi,”Harapkan pegar, pegar makan padi.”
Sehubungan itu, beliau meminta ibubapa dan anggota masyarakat perlu dikembalikan keyakinan bahawa anak mereka selamat dalam institusi pendidikan di negeri ini.
“AWAN mendesak pihak kerajaan memberi respon menyatakan langkah dan tindakan mereka dalam memgatasi jenayah terkutuk ini.
“Jangan diulangi kenyataan Timbalan Menteri Agama dari Kelantan (sebagaimana dilaporkan portal berita dulu) yang mahukan media dan masyarakat tidak mensensasikan kes jenayah melibatkan agamawan,” kata beliau.
Bagi Hafidzah, reaksi seperti ini adalah amat mengecewakan kerana ia dilihat sebagai satu cubaan melindungi penjenayah hanya kerana status mereka bergelar agamawan.
“Di manakah pembelaan terhadap mangsa, wanita atau lelaki yang biasanya mengalami trauma yang mendalam akibat jenayah yang berlaku ke atas mereka.
“AWAN juga melihat bahawa sekiranya agamawan boleh terlibat dalam kes-kes jenayah seksual ini, apatah lagi nasih masyarakat awam yang tentunya mempunyai risiko yang lebih besar,” katanya.
Justeru AWAN Negeri Kelantan menggesa agar pihak berkuasa kerajaan negeri mengambil langkah menangani kes jenayah seksual ini secara bersepadu.
AWAN mencadangkan agar: –
- Pihak berkuasa mengambil tindakan tegas menggantung tauliah mengajar agamawan yang dituduh terlibat dengan jenayah seksual sehingga siasatan selesai dijalankan.
- Hukuman yang setimpal mestilah dikenakan ke atas pelaku jenayah agar menjadi iktibar kepada masyarakat awam yang lain
- Terdapat kaitan yang jelas antara Pornografi yang boleh menyebabkan ketagihan dengan jenayah seksual. Langkah pencegahan melalui pendidikan seksual dan reproduksi mesti digiatkan samada melalui institusi pendidikan formal dan tidak formal.
- Pihak bukan kerajan seperti pertubuhan Malaysian against Pornografi dan lain-lain mesti dilibatkan secara aktif bagi membendung gejala yang meruntuhkan akhlak ini.
- Kerajaan juga mesti membendung bahan-bahan dan iklan berunsur pornografi yang begitu berleluasa di media sosial. Penguatkuasaan undang-undang sedia ada berkaitan bahan lucah ini mesti dilakukan.
- Pesalah laku jenayah seksual termasuk mereka yang ketagihan pornografi pelru menjalankan pemulihan. Perkhidmatan pemulihan yang lazimnya berada di Klinik psikologi dan psikiatri di hospital mesti ditambahbaik agar dapat diakses okeh orang ramai.
Tentunya usaha ini memerlukan usaha bersepadu melibatkan semua Exco-exco yang memengang potfolio berkaitan, katanya.
“Marilah kita berganding bahu mengemukakan langkah konkrit pencegahan dan perawatan termasuk rehabilitasi penjenayah dan pemandiri jenayah seksual.
“Semoga kita dapat menghentikan jenayah seksual sekaligus melahirkan masyarakat sejahtera yang percaya kepada Tuhan, menjaga kesopanan dan kesusilaan,” kata beliau.