Kes buang bayi: Yang terlibat perlu tampil dapatkan bantuan segera

Kes buang bayi: Yang terlibat perlu tampil dapatkan bantuan segera

Penemuan mayat bayi perempuan yang cukup sifat ditemui dibuang di dalam parit di Dewan Beta, Kelantan beberapa hari lalu sekali lagi menggemparkan masyarakat.

“Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan untuk membendung masalah buang bayi kejadian malang ini masih berlaku,” kata Pengerusi Kelab Keluarga Islah Kelantan Dr Hafidzah Mustakim.

Beliau berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 115 kes pembuangan bayi dilaporkan tahun 2016 dan 59 kes sehingga Jun tahun 2017.

“Antara inisiatif yang telah dilakukan adalah program pencegahan yang dilakukan oleh pelbagai Agensi kerajaan seperti LPPKN dan juga Program Anda Bijak Jauhi Zina oleh Raudhah Sakeenah Kelantan,” kata beliau.

Tambahnya lagi, pelbagai Program Baby Hatch kendalian Orphancare dan Hospital KPJ juga turut telah dilaksanakan.

“Namun persoalannya sejauh mana maklumat ini sampai ke akar umbi masyarakat?” soal Dr Hafidzah.

Menurutnya, masalah buang bayi lazimnya adalah masalah kompleks yang bertitik tolak daripada penyembunyian kehamilan hasil daripada pergaulan bebas dan akhirnya hamil diluar ikatan perkahwinan yang sah.

“Hanya pelakunya yang dapat menghentikan masalah ini dari berulang melalui perubahan sikap dan pandangan yang benar tentang kehidupan ini secara keseluruhannya.

“Selain itu, kebiasaannya bayi seperti ini sama ada akan dibuang (abandon) atau diangkatkan (adoption) atau dijaga sendiri oleh ibu atau keluarga terdekat.

“Ini berkait rapat dengan keupayaan pelaku membuat keputusan secara rasional dengan bantuan orang sekeliling,” jelas Hafidzah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan (PH) Kota Bharu berkata, ibu malang ini juga berisiko tinggi untuk mendapat kesan emosi jangka panjang seperti kemurungan dan rasa bersalah yang mencabar untuk dipulihkan yang mana akhirnya ibu itu akan menderita keseorangan menanggung akibat perbuatannya.

“Kami menyeru agar semua anggota masyarakat lelaki dan perempuan yang berisiko untuk kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi untuk segera mendapatkan bantuan sama ada melalui agensi kerajaan ataupun bukan kerajaan seperti Raudhah Sakeenah Kelantan kerana tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

“Pasangan lelaki yang merupakan rakan jenayah bersama sehingga timbulnya kes buang bayi perlu bertanggungjawab secara proaktif untuk mengelakkan masalah ini daripada berulang.

“Sesungguhnya setiap jiwa itu amat berharga dan menyelamatkan setiap jiwa adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.

CATEGORIES