Kes Bukit Kepong: Ceramah Mat Sabu bukan fitnah anggota polis, waris

Kes Bukit Kepong: Ceramah Mat Sabu bukan fitnah anggota polis, waris

Hakim Lim Chong Fong dalam penghakiman bertulisnya yang dibacakan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini, bersetuju dengan hujah peguambela bahawa pertuduhan ke atas Presiden Amanah Mohd Sabu adalah cacat dan dicemari oleh ketidaksahan (illegality).

Mohamad yang juga bekas timbalan presiden Pas didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan balai polis Bukit Kepong berhampiran Muar daripada serangan gerila komunis Malaya pada 23 Februari 1950.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu ketika berucap di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Fahmi, Markas Tarbiah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.

Peguam yang mewakili Mohamad, Hanipa Maidin berkata, Hakim juga memutuskan kata-kata bekas naib presiden Pas itu dalam ceramahnya bukan satu fitnah.

“Hakim juga menyatakan yang Utusan Malaysia juga dalam laporannya mengenai ceramah Hj Mohd Sabu telah mereka-reka atau menambah nambah ( embelished ),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Hanipa Maidin Mohamad diwakili pasukan peguambela yang diketuai Hanipa Maidin, Aminudin Zulkifli dan Nasar Khan serta para pembantu mereka.

Pendakwa pula diwakili oleh Datuk Razali yang juga Ketua Unit Pendakwa Pulau Pinang.

“Alhamdulillah, Presiden Amanah, Tuan Hj Mohd Sabu hari ini menang dalam kes rayuan yang dibuat oleh Pendakwa di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang,” ujar Hanipa Maidin yang juga Ahli Parlimen Sepang.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Butterworth telah bebaskan Presiden Amanah atas pertuduhan dan pertuduhan pilihan di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana didakwa memfitnah polis dan waris mereka dalam insiden Bukit Kepong.

Bagaimanapun pihak Pendakwa yang tidak puas hati dengan keputusan tersebut telah merayu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Mohamad  ketika menerima keputusan mahkamah itu hari ini turut mengucapkan penghargaan kepada sahabat handai yang sudi meluangkan masa menghadiri perbicaraan dan menyatakan sokongan.

“Tidak lupa juga sokongan dan doa daripada semua ahli, penyokong dan mereka yang prihatin. Moga Allah terus rahmati kita semua untuk terus melawan kezaliman dan penindasan,” ujar beliau.

TAGS