Malaysia Dateline

Kes bunuh diri meningkat, anehnya dakyah kerajaan pula kuat dicanang

Melihat rentetan peristiwa semasa, kita perlu sedar impak dan kesan negatif yang menimpa rakyat sekarang, kata Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang merujuk kepada peningkatan kes bunuh diri dalam negara.

Bagaimanapun beliau berkata, apa yang aneh ketika ini adalah sikap kerajaan yang sibuk mencanang dakyah kejayaan sendiri.

“Anehnya, dakyah kejayaan pula kuat dicanang rejim Perikatan Nasional (PN). Persoalan yang wujud, kepada siapa hendak berbohong?

“Kepada pemilik kedai yang terpaksa tutup perniagaan, kepada orang-orang yang hilang kerja atau ibu tunggal dengan anak yang kelaparan?

“Apa agaknya perasaan mereka bila kita cuba cerekakan “Sebenarnya, kerajaan tidak gagal, kita telah bla bla bla…” sambil menjamah mi segera bersama-sama,” sindirnya dalam satu hantaran Facebook malam tadi.

Sebelum ini dilaporkan sebanyak 266 kematian berpunca daripada bunuh diri direkodkan sepanjang tempoh Mac hingga Oktober 2020, iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 manakala sejumlah 60 peratus penyumbang statistik ialah daripada masyarakat Melayu dan beragama Islam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata, semasa tempoh PKP terdapat banyak kes bunuh diri dilaporkan, namun perkara itu tidak dihebohkan.

Selain itu, sekurang-kurangnya 10 orang membunuh diri dalam sebulan di Pulau Pinang dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini iaitu sepanjang pelaksanaan beberapa siri PKP akibat pandemik Covid-19.

Data itu dikongsi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang memaklumkan, sebanyak 53 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di negeri itu antara Januari hingga Mei tahun ini.