Kes bunuh Kim Jong-nam: 14 Disember dengar notis usul

Kes bunuh Kim Jong-nam: 14 Disember dengar notis usul

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 Dis depan untuk pendengaran notis usul yang difailkan tertuduh pertama dalam kes bunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, bagi mendapatkan salinan rakaman percakapan tujuh saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada pihak pembelaan.

Hakim Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan bahawa pihaknya ingin membalas afidavit sokongan kepada notis usul itu yang difailkan S. Kulaselvi, peguambela tertuduh pertama, Siti Aisyah.

“Berkenaan notis usul itu mahkamah tetapkan 14 Dis ini, pukul 10 pagi untuk pendengaran dan saya akan putuskan pada hari sama juga, sama ada boleh terus beri keputusan atau tetapkan tarikh lain untuk keputusan berhubung notis usul ini,” kata Azmi seperti dilapor Bernama.

Pihak pembelaan yang mewakili Siti Aisyah, 26, memfailkan notis usul itu hari ini bagi memohon mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan mengemuka dan membekalkan kepada mereka salinan rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi tujuh saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada pihak pembelaan.

Tujuh saksi pendakwaan itu adalah Ahmad Fuad Ramli, Lim Cheng Gam, Tomie Yoshio, Ng Wai Hoong, Dessy Meyrisinta, Raisa Rinda Salma dan Kamaruddin Masiod.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 51 dan Seksyen 113 (2) KPJ.

Pada 16 Ogos lepas, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah, warga Indonesia dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, membela diri terhadap pertuduhan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Kedua-dua wanita itu didakwa dengan empat orang lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb, 2017.

Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Siti Aisyah yang berbaju kurung hijau muda dan berskaf merah serta Doan yang berbaju kurung biru cair bercorak bunga dan memakai skaf oren dibawa ke mahkamah oleh pasukan polis kira-kira 12.45 tengah hari.

Dalam pada itu, mahkamah hari ini turut menetapkan tarikh baharu untuk kedua-dua tertuduh membela diri iaitu, 7 sehingga 10 Jan, 28 sehingga 31 Jan serta 18 dan 19 Feb tahun depan untuk Siti Aisyah membela diri manakala 11 hingga 14 Mac, 18 hingga 21 Mac, 1 hingga 4 April serta 8 dan 9 April tahun depan untuk Doan membela diri.

COMMENTS