Kes bunuh Nur Farah Kartini: Penjawat awam dipercayai anggota polis direman 7 hari

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang penjawat awam yang disyaki membunuh Nur Farah Kartini Abdullah, 25 ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 26 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor oleh Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Siasatan ke atas suspek yang sebelum ini ditahan di Balai Polis Gedangsa itu dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh, lapor Kosmo.

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap polis berwarna oren itu tiba kira-kira pukul 8.53 pagi di Mahkamah Kuala Kubu Bharu dengan menaiki kenderaan polis.

Selepas dilaporkan hilang sejak Rabu lalu, jasad Nur Farah ditemui di sebuah ladang kelapa sawit, di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor sekitar jam 6 petang, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, pemeriksaan awal mendapati jasad dipercayai adalah mangsa yang dilapor hilang berkait report (OH) bersangkut Tanjung Malim pada 11 Julai lalu.

Nur Farah Kartini yang berasal daripada Miri, Sarawak itu dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim Perak.

Mangsa yang juga bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu terakhir dilihat memakai baju korporat muslimah warna biru jeans, bertudung dan berseluar hitam.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian yang merupakan pelajar cemerlang itu bekerja di bahagian pemasaran digital sebuah kedai percetakan di Perak.

Dalam perkembangan terbaharu, suspek yang direman berhubung kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah itu dikenal pasti sebagai anggota polis yang bertugas di Perak.

Baca juga: Tak puas hati kedai lain lagi banyak pelanggan, lelaki lempar durian dekat peniaga