Malaysia Dateline

Kes cerai melonjak sepanjang PKP di Terengganu

Kadar perceraian di Terengganu melonjak sebanyak 3,978 kes dalam tempoh 10 bulan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula Jun tahun lalu hingga Mac lalu.

Antara punca utama kes perceraian meningkat disebabkan tiada persefahaman dan masalah kewangan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Menurutnya, tiada kes perceraian dilaporkan berlaku pada April tahun lalu, tetapi meningkat 132 kes pada Mei.

“Pendaftaran kes perceraian turun secara mendadak iaitu sebanyak empat kes pada Jun lalu ketika negara beralih daripada fasa satu kepada fasa empat Oktober lalu.

“Peningkatan kes perceraian secara konsisten pada Julai sebanyak 79, Ogos (140), September (266) dan 394 pada Oktober lalu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada wakil Barisan Nasional (BN) Bukit Besi, Roslee Daud, pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, hari ini.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Payong berkata, kerajaan negeri akan melakukan penambahbaikkan termasuk memperkenalkan modul baharu bagi mengurangkan kadar perceraian di negeri ini.

Tambahnya, tahun depan kerajaan negeri akan menganjurkan kursus dan motivasi bulanan kepada pasangan yang mendaftar untuk bercerai.