Malaysia Dateline

Kes Covid-19 kluster tempat melonjak, KKM seru majikan, pekerja patuhi SOP

Kluster Teratai yang membabitkan kilang Top Glove mencatatkan kes Covid-19 tertinggi berbanding kluster lain.

Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru semua majikan dan pekerja supaya bersama-sama memainkan peranan membantu kerajaan membendung penularan Covid-19 di tempat kerja dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, majikan bertanggungjawab menyediakan tempat kediaman pekerja yang kondusif di samping memastikan pekerja sentiasa mengamalkan langkah pencegahan jangkitan termasuk pemeriksaan suhu badan dan gejala sebelum memasuki tempat kerja.

Beliau menegaskan hal demikian susulan peningkatan kluster membabitkan tempat kerja berjumlah 225 atau 64.3 peratus daripada 350 kluster baharu dilaporkan sejak 6 Januari sehingga kelmarin.

Menurutnya, bagi tempoh sama, sejumlah 112,225 individu disaring dan 28,477 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster-kluster tersebut.

KKM setiap hari mengumumkan perkembangan kes Covid-19 sama ada menerusi sidang media mahupun kenyataan akhbar.

“Kluster berkaitan perkilangan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 80 kluster diikuti kluster berkaitan pembinaan sebanyak 53 kluster dan kluster berkaitan perkhidmatan sebanyak 31 kluster,” jelasnya dalam kenyataan perkembangan situasi Covid-19.

Sehubungan itu, katanya, pekerja juga perlu mengelak berkumpul di ruang sempit, mengelak terlalu ramai pekerja bersama pada satu-satu masa serta memastikan jarak satu meter semasa pekerja bertutur sesama mereka.

“Selain itu, pekerja diingatkan bahawa setelah pulang bekerja, mereka akan bercampur dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat di mana risiko jangkitan Covid-19 masih ada.

“Oleh itu, seperti mana juga di tempat kerja, pekerja diminta patuh kepada semua peraturan dan SOP ditetapkan agar risiko penularan dalam masyarakat dapat dikurangkan,” jelasnya.

Semalam, lapan daripada 11 kluster baharu yang telah dikenal pasti berkaitan tempat kerja, serta masing-masing satu kluster komuniti, kluster keagamaan, dan kluster pusat tahanan.

Lapan daripada 11 kluster baharu yang telah dikenal pasti KKM semalam adalah berkaitan tempat kerja.