Malaysia Dateline

Kes Covid-19 lebih tinggi berbanding Indonesia, KJ perlu jelaskan

Khairy Jamaluddin perlu menjelaskan mengapa dalam 53 hari sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan yang baharu pada 30 Ogos, Malaysia mempunyai jumlah jangkitan dan korban Covid-19 lebih tinggi berbanding Indonesia?

Pada 30 Ogos, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,725,357. Semalam, angka itu meningkat sebanyak 688,235 kes kepada 2,413,592 kes.

Pada 30 Ogos, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Indonesia pula adalah sebanyak 4,079,267 kes. Semalam, angka itu meningkat sebanyak 158,567 kes kepada 4,237,832 kes.

Ini bermakna sepanjang 53 hari Khairy menjadi Menteri Kesihatan, Malaysia merekodkan lebih setengah juta kes lebih banyak berbanding Indonesia?

Adakah Khairy mempunyai penjelasan mengenai perkara ini?

Namun, masalah ini bukan sahaja membabitkan kes baharu Covid-19, ia juga membabitkan angka kematian akibat Covid-19.

Pada 30 Ogos, kes kematian terkumpul akibat Covid-19 adalah sebanyak 15,382. Angka ini meningkat sebanyak 11,852 kepada 28,234 semalam.

Jumlah kematian terkumpul akibat Covid-19 di Indonesia pada 30 Ogos adalah sebanyak 132,491. Ia meningkat sebanyak 10,629 kepada 143,120 semalam.

Khairy harus diingatkan bahawa tidak cukup hanya sekadar menjadi menteri Kesihatan yang lebih baik berbanding pendahulunya, namun beliau juga perlu memastikan Malaysia tidak menunjukkan prestasi terburuk dalam menguruskan wabak Covid-19 di rantau ASEAN.

Menjadi kebimbangan semua rakyat Malaysia bahawa negara kita masih tidak mampu untuk menurunkan jumlah kes harian baharu Covid-19 ke bawah paras 5,000 untuk tempoh 19 hari sejak angka kes menurun ke paras julat empat angka pada 3 Oktober, sementara Indonesia telah mencatatkan jumlah kes harian baharu Covid-19 pada paras julat tiga selama tujuh hari berturut-turut.

Semalam, Malaysia merekodkan 6,210 kes baharu Covid-19 dengan 96 kematian (termasuk 21 kematian di luar facility (BID)).

Sementara Indonesia merekodkan 633 kes baharu Covid-19 dengan 42 kematian — satu pertiga kes baharu Covid-19 di Malaysia dan 45% daripada kematian harian baharu akibat Covid-19 di Malaysia, sedangkan jumlah penduduk Indonesia adalah lapan ganda lebih ramai berbanding Malaysia!

Adakah sistem kesihatan awam Malaysia begitu teruk dan menyedihkan jika dibandingkan dengan Indonesia Adakah Khairy tidak mempunyai sebarang penjelasan mengenai perkara ini?