Malaysia Dateline

Kes Covid-19: Malaysia kini atasi China

Jumlah kes Covid-19 di Malaysia kini sudah mendadahului China apabila mencecah 87,913 kes semalam manakala China yang menjadi pencetus wabak ini merekodkan 86,770 kes.

Semalam negara mencatatkan 1,295 kes baharu dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 14,751 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, jumlah kematian akibat Covid di Malaysia hanya 429 berbanding China 4,634.

Wabak ini pada mulanya dikesan pada pertengahan Disember 2019 di bandaraya Wuhan, Hubei, China, dan telah diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020.

Virus ini kebanyakannya menular antara seseorang dengan cara yang serupa dengan influenza, melalui titisan pernafasan daripada batuk atau bersin.

Ia dianggap paling mudah berjangkit apabila seseorang menerima tanda gejala, walaupun penyebarannya mungkin walaupun sebelum gejala muncul.

Pada 14 Disember lepas, veteran DAP, Lim Kit Siang meramalkan Malaysia akan atasi China sekiranya kadar peningkatan harian kes Covid-19 baru di Malaysia kekal pada paras sedia ada.

Katanya, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan Amerika Syarikat (IHME) mengunjurkan Malaysia akan terus mencatatkan peningkatan kes sehingga pertengahan Mac 2021, dengan lebih 5,000 jangkitan setiap hari pada 25 Februari.

Model IHME, yang juga digunakan oleh pentadbiran Donald Trump, meramalkan 2,987 kes baharu di Malaysia pada 1 Januari, meningkat kepada 4,176 jangkitan Covid-19 pada 1 Februari, dan 5,130 kes pada 1 Mac.

Trend ini dijangka meningkat hingga 21 Mac dengan 5,379 jangkitan pada tarikh tersebut dan kemudian menurun kepada 5,301 kes pada 1 April.

Sekiranya model IHME ini terbukti betul, maka Malaysia boleh menjadi antara 30 atau 40 negara teratas di dunia dengan jumlah kes terkumpul Covid-19 menjelang suku kedua tahun hadapan.