Malaysia Dateline

Kes Covid-19 masih empat angka, lima kluster lagi dikesan

Angka kes jangkitan Covid-19 di Malaysia terus kekal dengan empat angka sejak 3 November lalu selepas 1,009 kes positif direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 36,434 kes, dengan jumlah kebolehjangkitan sebanyak 10,503 kes.

Sabah mencatatkan kes tertinggi dengan 564 kes diikuti Selangor 180 kes manakala empat negeri tidak melaporkan kes baharu iaitu Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Menurutnya, daripada 1,009 kes yang dikesan hari ini, sebanyak 564 kes atau 55.9 peratus adalah hasil pengesanan kes di Sabah.

“Negeri sekitar Lembah Klang pula mencatatkan 198 kes atau 19.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif hari ini,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 839 kes pulih dilapor sehingga jam 12 tengah hari ini menjadikan kumulatif kes pulih mencecah 25,654 kes atau 70.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dalam tempoh sama juga, lima kluster baharu dikesan dengan dua kluster di Sabah manakala Selangor, Pulau Pinangdan Kuala Lumpur masing-masing satu kluster.

Enam kes kematian berkaitan Covid-19 direkodkan hari ini membabitkan beberapa daerah di Sabah dan Selangor menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 277 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.