Kes Covid-19 masih tinggi: Kit Siang minta penjelasan Khairy

Oleh ARIF ATAN

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang meminta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi penjelasan berhubung lonjakan kes baharu dan kematian harian Covid-19.

Veteran DAP tersebut bertanyakan punca sebenar peningkatan jangkitan baharu ketika kadar vaksinasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencecah 44.5 peratus populasi.

Tegasnya, berbanding Malaysia, negara-negara seperti Perancis, Sepanyol, Itali dan Jerman pada masa ini merekodkan kadar kes harian baharu dan kes kematian akibat wabak itu lebih rendah sejajar dengan peningkatan kadar pemberian vaksin.

Malah, kata Kit Siang, United Kingdom juga telah berjaya menurunkan kadar kematian meskipun mencatatkan kes harian baharu Covid-19 yang tinggi.

“Khairy juga perlu menjelaskan mengapa untuk enam hari berturut-turut, Malaysia merekodkan kes harian baharu Covid-19 lebih tinggi berbanding Indonesia dan Filipina.

“Kedua-dua negara untuk mempunyai jumlah penduduk yang lebih ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, sebanyak 300,718 kes Covid-19 direkodkan dalam tempoh 14 hari sehingga hari ini dengan negeri tertinggi di Selangor (81,264 kes) diikuti Sabah (38,419) dan Kedah (26,876), menurut data di aplikasi MySejahtera.

Walaupun Selangor menunjukkan kes positif Covid-19 harian menunjukkan penurunan dengan buat pertama kalinya hari ini mencatatkan angka di bawah 4,000, tetapi kes baharu di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Johor melonjak.

Dalam masa sama, secara purata sebanyak 200 hingga lebih 300 kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan setiap hari dengan angka tertinggi, 393 kes pada 26 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Kit Siang mempersoal bilakah Khairy akan mengumumkan dasar baharu yang berlandaskan data dan sains.

Beliau juga menggesa Khairy menerapkan pendekatan dan strategi “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan negara” yang melibatkan mobilisasi seluruh rakyat negara ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diarah menggunakan bekalan vaksin Covid-19 sedia ada dalam negara dan tidak menunggu sehingga tempahan vaksin tertentu tiba.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan ia bagi memastikan urusan dan PICK kepada rakyat berjalan lancar tanpa sebarang masalah.