Malaysia Dateline

Kes Covid-19 melonjak, hanya 1.5 peratus populasi terima vaksin

Reuters berpendapat Malaysia memerlukan tempoh 225 hari untuk memberi dos vaksin mencukupi kepada 10 peratus populasi lagi.

Jangkitan Covid-19 melonjak di Malaysia dengan 1,449 kes baharu dilaporkan secara purata setiap hari, lapor Reuters.

Agensi berita yang bertapak di United Kingdom itu berkata, terdapat 31 jangkitan setiap 100,000 orang dilaporkan di Malaysia dalam tempoh seminggu lalu.

“Terdapat 362,173 jangkitan dan 1,333 kematian berkaitan koronavirus dilaporkan di negara ini (Malaysia) sejak wabak itu bermula,” katanya dalam laporan dikemaskini pagi ini di laman khas Covid-19.

Dalam masa sama, Reuters turut melaporkan Malaysia telah memberikan sekurang-kurangnya 941,200 suntikan dos vaksin Covid-19 setakat ini.

“Dengan mengandaikan setiap orang memerlukan dua suntikan dos, itu sudah cukup untuk memberi vaksin sekitar 1.5 peratus daripada populasi negara,” katanya.

Jelas Reuters, data berkaitan suntikan vaksin itu mengikut jumlah dos vaksin Covid-19 yang diberi bukan jumlah orang yang telah divaksin.

“Sepanjang minggu terakhir yang dilaporkan, Malaysia memperoleh purata 28,502 dos setiap hari. Pada kadar itu, diperlukan 225 hari lagi untuk memberi dos yang mencukupi untuk 10 peratus populasi lagi,” tambahnya.

Untuk rekod, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari lalu menyasarkan untuk memberi imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjadi antara individu terawal menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19, jenis Pfizer-BioNTech.

Kes jangkitan baharu Covid-19 melonjak sejak seminggu lalu.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan seramai 395,891 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Katanya, seramai 583,903 individu sudah menerima dos pertama menjadikan keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara ini sebanyak 979,794.

Setakat 11 April lalu juga, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi iaitu Selangor (77,252); Sarawak (61,890); Sabah (54,070); Johor (52,198); Kuala Lumpur (52,110).

Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi ialah Selangor dengan 52,617 individu diikuti Perak (43,394), Sabah (41,267); Kuala Lumpur (33,603), Pahang (32,429) dan Sarawak (32,052).

Kebolehjangkitan meningkat

Semalam, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (Rt) mengikut kes seharian di seluruh negara terus meningkat kepada 1.07 dengan Terengganu mencatatkan kadar kebolehjangkitan tertinggi berbanding negeri lain iaitu 1.44.

Selain Terengganu, kebanyakan negeri lain juga melebihi angka 1.0 iaitu, Putrajaya (1.33), Sabah (1.21), Perlis dan Kedah (1.12), Kelantan (1.11), Sarawak dan Negeri Sembilan (1.10), Kuala Lumpur (1.08), Pahang dan Perak masing-masing dengan 1.07 manakala Melaka (1.05).

Hanya dua negeri, Rt yang direkodkan ialah di bawah satu iaitu masing-masing 0.84 di Johor dan 0.95 di Pulau Pinang.