Kes Covid-19 melonjak empat hari berturut-turut

Oleh Oleh FAZLI RADZI

Bulan Ramadan ini menyaksikan jangkitan baharu Covid-19 terus melonjak empat hari berturut-turut melebihi 2,000 kes dengan 2,915 kes hari ini.

Peningkatan harian melebihi 2,000 kes ini berlaku ketika negara masih di bawah perintah darurat sebagai langkah mengekang penularan pandemik menyaksikan jumlah keseluruhan Covid-19 sebanyak 375,054 kes.

Sebanyak 66 peratus atau 1,921 kes daripada 2,915 jangkitan hari ini berlaku di tujuh negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kes baharu tertinggi dikesan di Sarawak dengan 508 kes diikuti Selangor (431), Johor (387), Kelantan (332), Kuala Lumpur (176) dan Sabah (112).

Sementara itu, Pulau Pinang melaporkan 84 kes baharu Covid-19 diikuti, Negeri Sembilan (42), Perak (35), Kedah (30), Terengganu (16), Pahang (15) dan Melaka 15 kes.

Tiga negeri atau wilayah mencatatkan jangkitan baharu kurang daripada 10 kes iaitu Labuan enam kes diikuti Putrajaya dan Perlis masing-masing tiga kes.

Dalam masa sama, terdapat 219 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 90 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 1,427 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih di negara ini sebanyak 353,822 kes atau 94.34 peratus.

Lagi lapan kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kematian disebabkan oleh Covid-19 sebanyak 1,378 kes atau 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan.