Malaysia Dateline

Kes Covid-19 meningkat bukan salah peniaga atau bazar Ramadan

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan untuk tidak melakukan apa-apa sekatan secara menyeluruh sehingga menjejaskan keadaan ekonomi peniaga.

Beliau berkata, sekatan secara berpusat perlu dilakukan yang menumpukan hanya pada tempat merebaknya wabak Covid-19.

“Jangan lakukan apa-apa tindakan sekatan secara menyeluruh tetapi secara berpusat kepada tempat kejadian atau berlakunya perebakan penyakit.

“Beberapa langkah keras diperlukan untuk memastikan orang ramai pakai pelitup muka dan memastikan ada penjarakan sosial,” katanya dalam satu klip video di Facebooknya semalam.

Anwar berkata, apa yang menjadi punca permasalahan ketika ini bukanlah disebabkan bazar Ramadan dan peniaga kecil-kecilan.

Sebaliknya, penjarakan fizikal dalam satu-satu masa itu perlu dijaga dan dikawal supaya tidak berlaku kesesakan yang boleh menyumbang kepada risiko jangkitan.

“Masalahnya bukan bazar Ramadan dan gerai berniaga. Penyelesaiannya pula bukan untuk merobohkan gerai dan menyusahkan orang yang sudah hidup susah, kemudian dirampas segala peralatan mereka. Ini bukan cara siuman untuk dilakukan.

“Harus ada pertimbangan dan penyelesaiannya ialah memastikan jarak itu dijaga dan dikawal. Kawasan masuk gerai itu dihalang supaya jangan sesak dari pintu masuk.

” Tapi kalau nak menghalang mereka (berniaga) itu akan menyebabkan satu hal besar, akan berlakunya kesengsaraan kehidupan golongan miskin bandar,” katanya lagi.